haziq

SIC KINI LEBIH ‘TERBUKA’ KEPADA SEMUA GOLONGAN

SIC KINI LEBIH ‘TERBUKA’ KEPADA SEMUA GOLONGAN

February 22, 2023 4:17 am

SEPANG, 22 FEBRUARI – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sememangnya dikenali dan terkenal sebagai venue penganjuran sukan permotoran peringkat antarangbangsa mahupun tempatan dan kini SIC berhasrat untuk menukar persepsi orang ramai yang kononnya venue itu hanya tertumpu kepada golongan elit semata-mata.

Sejajar dengan usaha itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya kini sedang giat melakukan beberapa usaha bagi mempelbagaikan penganjuran acara di venue itu seperti konsert, acara larian dan berbasikal sekali gus berlainan dan tidak terhad kepada sukan permotoran sahaja.

Digelar sebagai permata mahkota sukan permotoran di Malaysia sejak tahun 1999, SIC kini lebih terbuka dan boleh diakses oleh semua orang. Dengan lokasi yang unik, SIC berbesar hati menjemput semua untuk menggunakan kemudahan SIC sebagai tempat pilihan untuk pelbagai program, acara dan aktiviti; korporat, gaya hidup, konsert, Pameran dan banyak lagi.

“SIC bukan hanya tempat untuk Two wheel (Dua roda) dan aktiviti empat roda. Ia berada di luar itu. Kami mahu SIC menjadi pusat tarikan dan keutamaan orang ramai. Suasana yang meriah daripada pelbagai aktiviti.” jelas beliau kepada pemberita selepas Hari Terbuka 2023 anjuran sulung daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Hari Terbuka itu diadakan sebagai tanda terima kasih SIC kepada penaja dan pelanggan serta untuk memperkenalkan inisiatif dan produk terbaru mereka.

Antaranya, pembukaan restoran yang terletak di Bay 3, Lakeside’s Café. Tempat yang baik untuk bersantai sambil menikmati makanan dan minuman yang lazat. Waktu operasi dari 8:30 pagi – 5:00 petang dan ditutup Isnin.

Difahamkan, SIC kini juga masih dalam proses perbincangan bersama Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurangkan atau memansuhkan sepenuhnya cukai hiburan 25 peratus yang dikenakan ke atas penonton bagi penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia 2023 termasuk Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP).

Tahun ini juga SIC meletakkan sasaran peningkatan lima peratus bagi jumlah kehadiran penonton ke MotoGP berbanding 164,000 pengunjung tahun lalu memandangkan wakil negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali “Damok” akan membuat penampilan sulung bagi Kelas Moto3 bersama pasukan MTHelmets-MSI.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SepangInternationCircuit #SICOpenDay #SIC

Sumber Gambar: Sepang Internation Circuit