Faris Zolkefli

RPGC JADI SAKSI KEMUNCULAN BAKAT BAHARU SUKAN GOLF

RPGC JADI SAKSI KEMUNCULAN BAKAT BAHARU SUKAN GOLF

February 23, 2023 7:09 am

KUANTAN, 23 FEBRUARI – Seramai 46 orang peserta mempamerkan aksi masing-masing dalam Kejohanan Golf Remaja Tertutup Pahang 2023 yang berlangsung dari Selasa hingga Rabu, 22 Februari 2023 bertempat di Kelab Golf Royal Pahang (RPGC), Kuantan.

Menurut Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Zamri Hassan, kejohanan itu dianjurkan oleh MSP dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan juga RPGC. Dua kategori dipertandingkan iaitu peringkat umur 13 hingga 15 tahun dan 16 hingga 18 tahun bagi acara lelaki dan wanita.

“Ini merupakan inisiatif kerajaan negeri Pahang bagi melahirkan lebih ramai pemain golf terbaik negeri ini dan pemain terbaik kejohanan akan diserapkan dalam Akademi Golf Pahang.

“Justeru, kita mengharapkan lebih ramai atlet-atlet muda golf tampil seterusnya berani mencabar diri untuk menyertai kejohanan kompetitif selepas ini,” kata beliau.

Tambah Zamri, MSP melalui Akademi Golf Pahang bakal menyediakan lebih banyak platform untuk atlet-atlet menyerlahkan bakat mereka seterusnya bakal menjadi pemain golf terbaik negara.

Akademi Golf Pahang telah dilancarkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 25 Ogos tahun lalu.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Golf #KejohananGolfRemajaTertutupPahang2023 #RoyalPahangGolfClub

Kredit: Sinar Harian

Sumber Gambar: Malay News