fariszolkefli

LIGA BESBOL KEBANGSAAN TERIMA TAJAAN SYARIKAT KOREA SELATAN

LIGA BESBOL KEBANGSAAN TERIMA TAJAAN SYARIKAT KOREA SELATAN

February 24, 2023 6:51 am

SHAH ALAM, 24 FEBRUARI – Pengeluar peralatan sukan dari Korea Selatan, Skyline Sports Inc berbesar hati menaja bola besbol buat Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) sepanjang kejohanan Liga Besbol Kebangsaan (NBL) 2023 yang akan berlangsung pada Mei ini. 

Penajaan strategik selama 10 tahun ini turut membabitkan bantuan teknikal dan rangkaian kerjasama dari Korea Selatan buat BFM.

Menurut presiden BFM, Sazali Husain, kerjasama ini amatlah bermakna bagi BFM kerana mendapat bantuan profesional daripada badan-badan besbol utama dari negara gergasi besbol seperti Korea Selatan.

“Satu lagi detik bersejarah buat besbol Malaysia. BFM amat teruja apabila buat julung kalinya membentuk kerjasama strategik bersama syarikat bola besbol gergasi antarabangsa Skyline Sports Inc.

“Kini kita sudah ada logo sendiri di setiap bola yang akan digunakan untuk liga kebangsaan NBL 2023 dan juga untuk latihan pasukan negara.

“Melalui kerjasama ini, pemain-pemain besbol tempatan juga berpeluang menggunakan bola yang berkualiti tinggi setaraf kejohanan antarabangsa,” katanya selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) antara BFM dan Skyline Sports Inc di pejabat BFM di Denai Alam, 10 Februari lalu.

Skyline diwakili oleh Pengerusinya, Lah Je-hoon dengan disaksikan wakil Skyline Sports Inc dari Sri Lanka, Theekshana Gammanpila dan Ahmad Yuzairy Mohamad, Naib Presiden BFM.

Bola berkenaan akan menampilkan logo BFM serta logo NBL 2023 dan buat julung kalinya ini adalah penajaan pertama syarikat gergasi dari Korea Selatan itu di Malaysia, khususnya dalam liga besbol tempatan. Bola itu bukan sahaja akan digunakan semasa pertandingan tetapi juga turut digunakan oleh pasukan negara semasa sesi latihan.

Sebelum ini, NBL 2023 telah mendapat penajaan daripada syarikat tempatan iaitu Aeon Big (M) Sdn Bhd dan juga Bubbles02 Sdn Bhd sebagai penaja utama.

Semalam, berlangsungnya Majlis Pelancaran AEONBiGBUBBLEO2 National Baseball League bertempat di Tingkat 1, AEON BiG Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Raja Muda Perlis merangkap Penaung Diraja Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) serta turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir bersama YB Hannah Yeoh, Menteri Belia & Sukan ke majlis perasmian tersebut.

Sebanyak lapan buah pasukan akan beraksi dalam saingan NBL musim ini membabitkan penyertaan Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Juara NBL musim pertama akan membawa pulang piala pusingan dan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Untuk rekod, pasukan besbol kebangsaan pernah menyertai beberapa temasya antarabangsa antaranya Sukan SEA Manila 2005 , Sukan SEA Bangkok 2007 dan Piala Besbol Asia Bangkok 2009.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Baseball #BaseballMalaysia #NationalBaseballLeague2023

Kredit: Flash Sukan

Sumber Gambar: Baseball Federation of Malaysia