fariszolkefli
PUCHONG, 28 FEBRUARI – Edisi sulung #SamaSamaMenang, iaitu sebuah pertandingan PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) yang memperkenalkan format unik bertemakan perpaduan antara pelbagai komuniti dan komunikasi positif dalam e-sukan telah berlangsung di ESI Hub, Spacerubix, Puchong bermula 8 pagi hingga 5 petang, 26 Februari lalu.
Pertandingan ini adalah sebuah inisiatif oleh Esports Integrated (ESI) untuk mencipta program e-sukan khusus untuk menyemarakkan keharmonian dan memberi impak positif daripada aspek perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai perancangan, ESI mensasarkan untuk menjalankan sebanyak tiga edisi #SamaSamaMenang dengan dua lagi lokasi bertempat di Zon Utara dan Zon Pantai Timur dengan kerjasama Persatuan-Persatuan Sukan Elektronik Negeri dan beberapa lagi rakan strategik lain.
Apa yang menarik dalam pertandingan PUBGM ini adalah tiga komponen yang diterapkan ke dalam format permainan untuk membawa misi perpaduan antara pelbagai komuniti dan komunikasi yang positif antara satu sama lain, iaitu:
Format round robin secara individu ditetapkan di setiap peringkat permainan, iaitu di peta Miramar, Erangel dan Sanhok untuk memberikan setiap peserta cabaran untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan rakan sepasukan berbilang bangsa, umur dan jantina. Dengan menggunakan format ini, para peserta diberikan pendedahan dan teknik secara langsung untuk memastikan etika permainan dan komunikasi mereka kekal positif dan terbuka.
Selain itu, #SamaSamaMenang juga menggunakan mata ganjaran PADU yang diberikan sebagai ganjaran kepada para peserta yang mengaplikasikan teknik komunikasi positif dan inklusif, di samping pemarkahan standard yang digunapakai di dalam PUBGM. Para peserta yang menerap dan mengaplikasikan teknik komunikasi dan etika positif semasa perlawananan diberikan mata bonus 5, manakala 5 mata akan ditolak sekiranya para peserta berkelakuan atau menggunakan perkataan berunsur negatif.
Sesi interaktif Fireside Chat juga dijalankan semasa waktu rehat di antara peta 2 dan 3 untuk membincangkan misi dan objektif penganjuran #SamaSamaMenang, di samping mendengar pendapat daripada para peserta. Slot diskusi santai yang membincangkan topik-topik gaming berunsurkan perpaduan tersebut telah disertai oleh moderator daripada Architects of Diversity (AOD), Southeast Asia Regional Centre for Counter-Terrorism (SEARCCT), pempengaruh seperti Andrew “Sir Cloud” Cheong, Pakcik Gaming, Nara, Andrew, Faa Rahim, Frost dan para peserta untuk bagi berkongsi kisah pengalaman, cabaran dan tip-tip berkomunikasi dengan ahli pasukan yang bertutur dalam bahasa berbeza.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir, #SamaSamaMenang adalah sebuah program pertandingan e-sukan yang diperkenalkan di bawah inisiatif Malaysia Inklusif bertujuan untuk menyuntik elemen keterangkuman dan komunikasi positif dalam kalangan pemain dan komuniti e-sukan Malaysia yang berbilang bangsa. Bagi memastikan keberkesanan program advokasi seumpama ini, pihak ESI mengambil pendekatan dengan melibatkan komuniti sasaran dalam slot diskusi santai supaya objektif program dapat disampaikan secara efektif dan telus.
PUBGM menjadi judul permainan yang menjadi taruhan dalam edisi pertama ini kerana ia mempunyai jumlah pengikut dan pemain yang lebih ramai berbanding judul permainan lain. Sejumlah 16 orang peserta daripada berbilang etnik, agama dan budaya telah tampil dan mara merebut hadiah terkumpul bernilai RM 3,000.
Taufik (Axis/GxSeeNx) telah tampil sebagai johan #SamaSamaMenang Edisi Pertama menewaskan Mel Gibson (KKxKingsan) di tempat kedua, Joel San (Atlas) di tempat ketiga, Lee Jia Xian (CSColaFTSLR) di tempat keempat, Muhammad Zakwan Afiq (GLSxzack) di tempat kelima dan Afiq Firdaus (RRQSkyTommy) di tempat keenam.
#SamaSamaMenang adalah salah sebuah inisiatif daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memangkin perpaduan menerusi ESI dengan kerjasama Architect of Diversity (AOD), Tencent Malaysia, TikTok Malaysia, Southeast Asia Regional Centre for Counter-Terrorism (SEARCCT) dan Persatuan Sukan Elektronik Negeri Selangor.
#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #ESports #PUBGM #SamaSamaMenang #MalaysiaInklusif
Sumber Gambar: Esports Integrated