KBS, MFL JALIN KERJASAMA LAKSANA PROGRAM SKRIN BESAR
KBS, MFL JALIN KERJASAMA LAKSANA PROGRAM SKRIN BESAR
March 1, 2023 4:29 am
PUTRAJAYA, 1 MAC – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) akan meneruskan program tayangan skrin besar sempena perlawanan Liga Super 2023 sepanjang bulan Mac 2023.
Program Skrin Besar ini merupakan salah satu inisiatif KBS bagi menyemarakkan lagi sukan bola sepak dalam negara dan memberi peluang kepada penyokong pasukan kegemaran masing-masing untuk menonton perlawanan secara langsung di skrin besar yang disediakan, sekaligus memupuk semangat kesukanan serta perpaduan rakyat bersama komuniti setempat.
Berikutan daripada sambutan menggalakkan masyarakat setempat semasa perlawanan bola sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 dan Piala Dunia Hoki 2023 baru-baru ini, pelaksanaan Program Skrin Besar kini diperluas ke negeri Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, dan Negeri Sembilan.
Kerjasama KBS dan MFL ini dilihat akan memberikan pendedahan meluas kepada masyarakat setempat mengenai Liga Malaysia 2023 yang sedang melalui era penswastaan serta menjadi industri sukan terbesar di Malaysia. Dengan lebih 16 juta peminat bola sepak di seluruh negara, program ini pastinya akan menjadi salah satu medium baharu dalam mempromosi dan menarik lebih ramai rakyat negara ini untuk menyokong kelab-kelab Liga Malaysia.
Berikut adalah jadual tayangan perlawanan bola sepak sepanjang Mac ini:
1/3/2023, Rabu, 9:00 p.m.
Kedah Darul Aman vs Terengganu FC
Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu
5/3/2023, Ahad, 9:00 p.m.
Kelantan FC vs Penang FC
Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban, Pulau Pinang
11/3/2023, Sabtu, 8:15 p.m.
Kuala Lumpur City vs Negeri Sembilan FC
Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan
13/3/2023, Isnin, 9:00 p.m.
Kelantan United FC vs Kedah Darul Aman FC
Dataran Starwalk, Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah