SEPANG, 3 MAC – Penganjur Malaysia Speed Festival (MSF) menepis tanggapan ramai bahawa sukan permotoran hanya untuk ‘golongan kayangan’ sahaja apabila berani menawarkan yuran pendaftaran antara paling berpatutan dan kos perlumbaan yang murah.
Berbekalkan yuran pendaftaran serendah RM500, peminat dan penggiat sukan permotoran berpeluang menyertai perlumbaan anjuran MSF dengan peluang beraksi umpama pelumba atau pemandu profesional di atas litar.
Menurut Pengarah MSF, Adian Yein Khalid, beliau optimis acara tersebut mampu disertai oleh semua lapisan masyarakat terutamanya bagi pencinta sukan permotoran.
“Ramai orang fikir sukan permotoran sukan mahal, ada yang beranggapan kena pakai sut lumba diiktiraf FIA (International Automobile Federation) berharga RM3,000.
“Bagaimanapun, untuk MSF kita kaji dan jumpa ada sut yang lebih murah dibuat dari Amerika Syarikat berharga RM800 dan mampu bertahan hingga lima ke 10 tahun. Memang saya tak dapat bagi percuma (yuran pendaftaran) kerana perlu tampung kos sewa litar tapi saya lebih suka melihat bagaimana kita mahu memberikan keseluruhan pakej itu berpatutan,” katanya kepada pemberita ketika majlis pelancaran MSF 2023 di sini hari ini.
Dalam penganjuran kali ini, sebanyak lima kategori perlumbaan ditawarkan iaitu Malaysian SuperMoto Championship, Malaysia Saga Cup Championship, MSF Touge Hill Climb Series, MSF SuperTurismo dan MSF Superbikes yang akan bermula dari 5 Mac hingga 5 Nov ini di beberapa lokasi termasuk Litar Antarabangsa Sepang.
Tambah Adian, penganjuran MSF hanya menawarkan sebuah trofi dan tidak memberikan wang tunai sebagai ganjaran kepada setiap pemenang kerana yakin setiap peserta yang menyertai perlumbaan adalah atas dasar minat yang mendalam terhadap sukan permotoran.
“Mereka (peserta) berlumba untuk kebanggaan dan kami hanya memanfaatkan platform media sosial untuk menjadikan mereka wira,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar kerajaan dapat berusaha memperhebat industri sukan permotoran pada masa akan datang.
Menurut Adian industri sukan permotoran mampu menjana ekonomi negara sehingga membawa keuntungan besar seperti diraih negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
“Saya rasa untuk pelumba, pemandu dan pasukan kita, kita perlu membantu mereka untuk dapatkan komponen atau alat ganti kerana kebanyakan mereka dapatkan dari luar negara seperti tayar.
“Jika kita melihat kepada Amerika Syarikat, UK dan Australia, industri sukan permotoran mereka bernilai berbilion dolar tetapi tidak di sini kerana kita bukan pengeluar padahal ada syarikat tempatan seperti Perodua dan Proton namun mereka tidak menghasilkan alat ganti untuk sukan permotoran, kita hanya beli dari China, Thailand, Taiwan dan Amerika Syarikat,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai MSF boleh merujuk laman Instagram MSF iaitu @MSFRacing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan sebagainya.