Faris Zolkefli

GOLF AMAL TUN AHMAD SARJI TARIK 96 PENYERTAAN PROFESIONAL DAN AMATUR

GOLF AMAL TUN AHMAD SARJI TARIK 96 PENYERTAAN PROFESIONAL DAN AMATUR

March 8, 2023 7:39 am

SHAH ALAM, 8 MAC – Seramai 96 orang pemain termasuk 24 pemain profesional negara telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Golf Amal Pro-Am Tun Ahmad Sarji 2023, anjuran Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) di Saujana Golf and Country Club, semalam.

Menurut Nik Mustapha Nik Mohammed, Pengurus Besar PGM, pertandingan yang menggunakan format kumpulan ini dibarisi oleh seorang pemain profesional dan tiga pemain amatur untuk berentap merebut kejuaraan musim ini.

Antara pemain profesional yang menyertai kejohanan ini adalah pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi Ervin Chang, Paul San Weng Yau, Aretha Pan Herng, dan Galven Kendall Green, bagi memberi tunjuk ajar dan tip kepada pemain amatur di dalam kumpulan masing-masing.

“Bila ada kejohanan sebegini melibatkan pemain profesional dan amatur, ia amat baik sebab boleh berkongsi tip jika mereka satu kumpulan dan kebiasaannya kejohanan seperti ini memang dinantikan peminat sukan golf negara,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Kejohanan yang diadakan ini bertujuan untuk mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, pengasas juga merangkap pengerusi PGM yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021.

Kutipan sumbangan yang dikumpul menerusi kejohanan ini akan disumbangkan kepada pihak yang dipilih keluarga Allahyarham iaitu Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ) yang menerima RM10,000 dan RM10,000 kepada keluarga mendiang bekas pemain professional negara M. Ramayah yang meninggal dunia kelmarin.

Hadiah utama pertandingan dimenangi oleh pasukan yang diperkuatkan oleh Paul San bersama tiga amatur daripada Sime Darby Property – Datuk Ir. Mohd Sohimin Mohd Alayedin, Steven Tan dan Tang Ai Leen.

Kejohanan Piala Tun Ahmad Sarji 2023 membuka tirainya pada hari ini hingga Sabtu, 11 Mac 2023 dan disertai oleh 92 pemain professional negara.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Golf #MalaysianGolf #PialaTunAhmadSarji2023

Kredit: BERNAMA

Sumber Gambar: Berita Harian