fariszolkefli

KEJOHANAN CYCLOCROSS MALAYSIA EDISI SULUNG DITANGGUHKAN

KEJOHANAN CYCLOCROSS MALAYSIA EDISI SULUNG DITANGGUHKAN

March 9, 2023 7:56 am

KUALA LUMPUR, 9 MAC – Kejohanan edisi sulung Cyclocross Malaysia di Taman Rekreasi D R Seenivasagam di Ipoh, yang sepatutnya berlangsung pada hujung minggu ini terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia, Datuk Anas Yusof Sulaiman dalam satu sidang media semalam dengan menyatakan kejohanan itu ditunda ke 27 dan 28 Mei ini atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Antara faktor utama penundaan perlumbaan berbasikal berhalangan atau singkatannya CX itu adalah kerana pertindihan venue dengan Hari Landskap Negara. Sebagai menghormati dan menyatakan sokongan kepada Hari Landskap Negara serta memahami keperluan protokol keselamatan, pihak penganjur membuat keputusan untuk menangguh kejohanan kepada tarikh yang baharu.

“Kalau dilihat, pada masa itu… daripada sudut trek, penganjuran (cyclocross) di sebelah sungai dan area (kawasan) itu memang untuk kita namun apabila ada pelancaran Hari Landskap dan PM serta TPM hadir, maka kawasan berkenaan dijadikan tempat letak kereta.

“Itu tak menjadi masalah, cumanya apabila dibuat secara serentak, mungkin ada isu daripada sudut penggunaan pembesar suara di mana kita buat sukan di sini dan di sana pula pelancaran Hari Landskap.

“Kalau diteruskan (hujung minggu ini), kita akan ada masalah daripada teknikal kerana cyclocross tak sama seperti acara sukan biasa. Ia memerlukan jarak berpatutan, kedudukan kecerunan dan kalau ‘lari’ sedikit, kita akan berdepan masalah untuk menganjurkannya.

“Namun apa yang penting kita akan teruskan, kita bukan batalkan. Cuma tangguh pada satu tarikh ditetapkan dan ini juga tertakluk kepada kelulusan,” kata Anas dalam sidang media mengenai penangguhan kejohanan, semalam.

Dalam pada itu, Anas memberitahu, yuran penyertaan akan dikembalikan sekiranya peserta mahu melakukan sedemikan.

“Peserta yang sudah mengesahkan penyertaan dan membuat bayaran, boleh berhubung dengan sekretariat kejohanan di talian 03-6734 5990 ataupun menyertai kejohanan pada Mei nanti,” katanya.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Cyclocross #CyclocrossMalaysia #MalaysiaCXChampionship2023

Kredit: Berita Harian

Sumber Gambar: Malaysia CX