KUALA LUMPUR, 10 MAC – Perkhabaran gembira buat penggiat dan peminat sukan eRacing GP di Malaysia apabila Royal Selangor dan Axle Sports mengumumkan mereka telah memperbaharui kerjasama bahkan akan memperkenalkan empat litar terkenal di Malaysia kepada pelumba muda sukan simulator daripada pelbagai negara pada edisi musim pertama.
Pada 24 Februari lalu di Litar Antarabangsa Sepang juga telah berlangsungnya perlumbaan Global Edition 11: Malaysian Playground yang menerima lebih 90 pelumba simulator dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Hong Kong, Brunei, Australia, United Kingdom dan Filipina.
Litar Shah Alam atau lebih dikenali dengan Litar Batu Tiga Shah Alam merupakan antara litar ikonik yang diperkenalkan sekali gus bakal menggamit memori pencinta sukan permotoran di pusingan kedua.
Sebuah litar sepanjang 3.5 km ini pernah menjadi tumpuan orang ramai serta menjadi tuan rumah pelbagai acara permotoran seperti perlumbaan motorsikal berkuasa tinggi termasuk kereta lumba lagenda Kumpulan C pada tahun 1980-an.
“Kita ingin memperkenalkan pelumba muda dari pelbagai negara tentang sejarah sukan permotoran yang dahulunya menjadi suatu kebanggaan untuk kita. Dengan harapan supaya pelumba generasi muda ini menghargai peristiwa-peristiwa bersejarah dalam sukan permotoran di Malaysia”, jelas bekas pemandu Formula 1 negara, Alex Yoong, yang juga pengasas Axle Sports.
Sementara itu, bagi mengekalkan elemen kejutan seperti edisi Global sebelum ini maka pihak penganjur akan mengumumkan baki pusingan perlumbaan sebelum bermulanya dua pusingan akhir nanti yang mana antara petunjuk yang diberikan ialah pusingan seterusnya akan membawa semula sebuah litar yang menjadi tumpuan 80 tahun yang lalu pada kejohanan pertama GP di Malaysia.
“Kami sangat berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif dalam mendidik, mendorong serta memyediakan platform terbaik kepada pelumba sukan simulator generasi muda. Semoga berjaya kami ucapkan kepada mereka”, kata Pengarah Urusan Royal Selangor, Yong Yoon Li.
Terdapat juga perubahan pada Global Edition 11: Malaysian Playground yang mana perlumbaan simulator RaceRoom Experience ditukar kepada perlumbaan Assetto Corsa Competizione. Pusingan kedua dan ketiga akan berlangsung hari ini, 10 Mac dan 24 Mac dengan aksi final dijadualkan pada 7 April. Pelumba di Kelas Emas dan Perak akan bersaing di dalam Jordan 191 dan Kelas Gangsa dan Tembaga akan beraksi di dalam Taatus FA010.
Royal Selangor juga bekerjasama dengan Axle Sports di dalam Endurance Edition yang menyajikan saingan perlumbaan di dalam litar terkemuka dunia pada 1 April yang menyaksikan cabaran 4 hingga ke 8 jam perlumbaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai eRacing GP, anda boleh layari laman sesawang www.eracing-gp.com atau laman rasmi sosial media mereka.