fariszolkefli

KOD SUKAN SELAMAT LINDUNGI PENGGIAT SUKAN

KOD SUKAN SELAMAT LINDUNGI PENGGIAT SUKAN

March 15, 2023 4:50 am

PUTRAJAYA, 15 MAC – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini melancarkan Kod Sukan Selamat sebagai panduan dan rujukan kepada komuniti sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab komuniti sukan secara jelas dan menyeluruh.

Kod Sukan Selamat ini berfungsi untuk melindungi komuniti sukan daripada sebarang bentuk penderaan, gangguan dan keganasan dalam sukan yang menjejaskan kesihatan mental dan fizikal. Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan Malaysia secara menyeluruh.

Kod yang dilancarkan ini memberi tafsiran kepada jenis-jenis salah laku yang berlaku dalam sukan berpandukan kepada garis panduan antarabangsa dan juga undang-undang tempatan. KBS percaya bahawa perincian skop salah laku ini akan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap gangguan dan penderaan dalam sukan.

Selain itu, Kod ini juga menerangkan peranan dan tanggungjawab semua pemegang taruh seperti atlet, jurulatih, badan sukan, ibu bapa dan organisasi berkaitan sukan serta mekanisme pelaporan sedia ada yang boleh digunakan oleh semua penggiat sukan.

Semua badan sukan dan organisasi berkaitan sukan perlu membangunkan polisi sukan selamat dalam ekosistem sukan masing-masing, selaras dengan pindaan Jadual Kedua dan Ketiga, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) yang telah berkuatkuasa pada 10 Mac 2023.

KBS juga telah melantik Melissa Akhir, peguam berpengalaman, pakar perundangan dan pakar gender sebagai Pegawai Pelindung yang bertindak sebagai pakar rujuk bagi Kod Sukan Selamat, memberi khidmat nasihat dan menjalankan program-program advokasi berkaitan sukan selamat.

Dalam majlis pelancaran Kod Sukan Selamat hari ini, sebanyak 31 badan sukan dan 16 jabatan serta agensi di bawah KBS telah hadir menandatangani perakuan sokongan kepada Kod ini. Pelancaran ini adalah cerminan kepada komitmen semua pemegang taruh dalam memastikan persekitaran sukan di Malaysia adalah bebas daripada segala bentuk penderaan dan gangguan sekali gus meningkatkan tahap pencapaian sukan negara di peringkat antarabangsa.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #KodSukanSelamat #SafeSport

Sumber Gambar: Majlis Sukan Negara