fariszolkefli

BUMI KENYALANG GALAS TANGGUNGJAWAB TUAN RUMAH SUKMA 2024

BUMI KENYALANG GALAS TANGGUNGJAWAB TUAN RUMAH SUKMA 2024

March 16, 2023 4:08 am

PUTRAJAYA, 16 MAC – Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) secara rasminya bersetuju memilih Sarawak sebagai tuan rumah Temasya Sukan Malaysia edisi seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada 2024. Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dilangsungkan pada hari ini.

Pemilihan Sarawak selaku tuan rumah 2024 adalah berpandukan kepada persetujuan ahli-ahli untuk memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah secara berselang-seli setiap dua tahun antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri. 

Selepas giliran Sarawak selaku tuan rumah edisi SUKMA 2024, temasya SUKMA pada tahun 2026 akan dianjurkan oleh MSN dan seterusnya Kelantan pula telah bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah SUKMA 2028 agar mereka mempunyai tempoh persiapan yang lebih panjang. 

Rasional sistem penggiliran tuan rumah itu bertujuan untuk mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada negeri-negeri yang meliputi peruntukan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran dan juga pembiayaan program persediaan atlet-atlet di peringkat negeri. 

Selain itu, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA juga meluluskan cadangan supaya 28 jenis sukan wajib dipertandingkan, bermula daripada temasya SUKMA tahun 2024 iaitu akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuhraya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, hoki, judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin bowling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis. 

Sarawak selaku tuan rumah SUKMA 2024 juga diberikan pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan dan telah memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan iaitu tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik (e-sports) yang tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia. 

Jawatankuasa juga telah bersetuju untuk MSN mengadakan beberapa sesi libat urus bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan pemegang taruh yang berkaitan bagi mengkaji kemungkinan membuka penyertaan kepada lebih banyak jenis sukan untuk dipertandingkan pada edisi temasya SUKMA pada masa hadapan.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SukanMalaysia2024 #SUKMASarawak2024