KUALA LUMPUR, 17 MAC – Atlet lompat tinggi wanita negara, Ngu Jia Xin berhasrat untuk memecahkan catatan peribadi terbaiknya pada penampilan kedua di temasya Sukan SEA Kemboja, Mei ini.
Catatan peribadi terbaiknya adalah 1.79 meter (m) yang dilakukan pada satu kejohanan di Ipoh sekitar tahun 2019 dan sekiranya beliau mampu melepasi ketinggian berkenaan, pingat emas hampir pasti dalam genggamannya di Phnom Penh nanti.
Berdasarkan keputusan pada edisi Hanoi tahun lalu, emas dimenangi atlet Vietnam, Pham Thi Diem dengan catatan 1.78m manakala perak dimiliki Michelle Sng Suat Li (Singapura, 1.75m) dan gangsa, Pham Quynh Giang (Vietnam,1.70m).
Mengikut catatan terbaik dilakukannya pada musim lalu, atlet berusia 23 tahun itu pernah mencatat 1.73m di kejohanan Malaysia All-Comers di Kuala Lumpur dan 1.70m di Sukan Malaysia (SUKMA).
Catatan dilakukannya itu lebih baik berbanding penampilan sulungnya di temasya dwitahunan di Vietnam tahun lalu yang menyaksikan dia melakukan 1.65m untuk berada di tangga kelima keseluruhan.
“Saya rasa nak dapatkan pingat… tak kisah warna apapun, janji dapat. Sebelum ini nombor lima (di Hanoi). Ada rasa tak puas hati (dengan pencapaiannya).
“Dulu saya agak gementar namun untuk kali ini, saya rasa lebih baik. Catatan peribadi terbaik saya adalah 1.79m. Saya nak pecahkan dan kalau dapat melakukannya, mungkin boleh dapat emas,” kata atlet kelahiran Pantai Remis, Perak itu.
Dalam pada itu, Jia Xin yang membuat penampilan terakhir di SUKMA tahun lalu dengan mempertahankan emas buat pasukan perak dengan catatan 1.70m berkata, dia menjangkakan saingan sengit bakal hadir daripada atlet dari Vietnam, Singapura dan Thailand.
Sebagai persiapan ke Kemboja, Jia Xin dijadual menyertai beberapa kejohanan di peringkat tempatan dan antarabangsa, antaranya Terbuka Kuala Lumpur dan Terbuka Australia.