SHAH ALAM, 20 MAC – Sebanyak 52 pasukan termasuk beberapa pasukan dari luar Lembah Klang telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Ragbi Shah Alam Prince 10s 2023 yang bertempat di Padang MBSA Seksyen 7, Shah Alam pada 18 dan 19 Mac lalu.
Tiga kategori telah dipertandingkan iaitu Bawah 12 (B-12), Bawah 15 (B-15) dan Bawah 17 (B-17). Bagi kategori B-12, 20 pasukan telah menghantar wakil bagi merebut kejuaraan manakala bagi kategori B-15 dan B-17 masing-masing mempunyai 16 buah pasukan yang hadir beradu kudrat di Padang MBSA.
Bagi kategori B-12, SK Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur berjaya menggondol kategori Cup, SK Pengkalan Tentera Darat, Selangor (Plate), SK Pulau Indah, Selangor (Bowl), SK Bendahara Sri Maharaja, Melaka (Shield), dan SK Sungkai, Perak (Spoon).
Kategori B-15 pula memperlihatkan kehebatan SMK Shah Alam, Selangor apabila muncul juara Cup. Panthers 11 dari Putrajaya unggul dalam Plate, SMK Jalan Kebun, Selangor (Bowl), dan SMK Methodist ACS, Klang (Shield).
Sementara itu, Cup Kategori B-17 dimenangi oleh SVian Rugby dari Kuala Lumpur, SMK Setiawangsa, Kuala Lumpur (Plate), SMK Jalan Kebun, Selangor (Bowl), dan SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur (Shield).
Kejohanan Ragbi Shah Alam Prince 10s 2023 ini telah memasuki edisi ke-2 dengan matlamat penganjuran untuk memberi peluang kepada sekolah-sekolah harian dalam arena sukan ragbi tempatan serta pendedahan yang lebih meluas termasuk menambah pengalaman dan mutu permainan.
Kejohanan ini dianjurkan oleh CB Get Into Sports Management dengan kerjasama MPP Zon 3 dan telah dirasmikan oleh ADUN Kota Anggerik, YB Najwan Halimi. CB Get Into Sports Management juga adalah penganjur bagi Karnival Ragbi Touch Wanita Shah Alam (KARAT), Shah Alam Rimau B-10 & B-12 (SAR) dan Shah Alam Prince 7s (SHAP7s).