ANDRE SASAR PERTAHAN EMAS, PERBAHARUI REKOD LOMPAT KIJANG KEBANGSAAN DI KEMBOJA
ANDRE SASAR PERTAHAN EMAS, PERBAHARUI REKOD LOMPAT KIJANG KEBANGSAAN DI KEMBOJA
March 27, 2023 7:47 am
KUALA LUMPUR, 27 MAC – Bukan sahaja mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan Sea Hanoi, atlet lompat kijang lelaki negara, Andre Anura Anuar turut menyasarkan untuk meleburkan rekod kebangsaan dalam acara itu apabila beraksi di pentas Sukan Sea Kemboja Mei ini.
Menurut Andre Anura dia tekad memperbaharui rekod kebangsaan 16.77 meter (m) yang dilakukan bekas rakan sepasukan, Hakimi Ismail ketika Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 2017.
Justeru, atlet kelahiran Sabah itu akan menggunakan baki tempoh kurang dari dua bulan terutama perbaiki teknik lompatan sebelum berlepas ke Kemboja nanti.
“Ketika ini saya mahu perbaiki teknik saya sebelum berlepas ke Sukan Sea Kemboja nanti. Jika diikutkan lompatan saya agak baik tetapi belum capai pada tahap yang saya mahukan.
“Jadi, saya akan menggunakan kesempatan yang ada menjelang Kejohanan Terbuka Australia yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Saya harap mampu melakukan lebih baik dan atas 16 meter (m) kerana rekod peribadi saya adalah 16.51m sewaktu saya lakukan di Hanoi tahun lalu.
“Jadi, kalau boleh saya mahu melakukan dengan lebih baik sebelum ke Sukan Sea Kemboja. Sasaran saya mempertahankan pingat emas di Kemboja dan juga mahu mengatasi rekod senior saya iaitu Hakimi Ismail,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Temasya Sukan Sea Kemboja yang akan membuka tirai 5 hingga 17 Mei depan melibatkan 40 jenis sukan yang akan dipertandingkan.
Skuad olahraga menjadi skuad terbesar ke Kemboja dengan seramai 34 atlet yang layak mengikut kategori A manakala 31 atlet untuk kategori B.
Untuk rekod, pada Sukan Sea Hanoi yang lalu, skuad olahraga negara berjaya membawa pulang lima emas selain turut membawa pulang tiga perak dan lapan gangsa.