KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Majlis Sukan Negara (MSN) memandang serius kejadian gangguan seksual melibatkan atlet negara baru-baru ini dan telah memanggil mangsa dan rakan sepasukan yang lain untuk dirujuk kepada pakar psikologi.
Menurut Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, langkah yang diambil termasuk mengaktifkan kod selamat iaitu atlet berusia 20-an itu akan dipantau oleh Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Shalin Zulkifli bagi memastikan mangsa stabil dan berada dalam keadaan baik.
Dalam masa sama, MSN juga telah mengedar kod etika selamat kepada semua atlet dan jurulatih supaya mematuhi garis panduan ditetapkan untuk mengelak kejadian sama berulang.
“Kod etika selamat adalah inisiatif bagus daripada Kementerian Belia dan Sukan supaya atlet dan jurulatih faham berkaitan gangguan seksual.
“Selepas ini, kita akan mengadakan perjumpaan bersama jurulatih dan atlet lebih kerap demi memastikan kejadian ini tidak berulang,” jelas Jefri Ngadirin.
Terdahulu, persiapan skuad berbasikal MTB negara ke temasya Sukan Sea Kemboja, bulan depan dilaporkan terganggu selepas perkhabaran berlakunya insiden seorang pelumba wanita mengalami gangguan seksual ketika menjalani latihan bersama pasukan.
Mangsa yang merupakan pemenang pingat di temasya Sukan Sea Vietnam tahun lalu berusia 20 tahun dikatakan mengalami gangguan itu kebelakangan ini lantas mengambil tindakan segera dengan membuat laporan Polis untuk tindakan lanjut selain turut mengadu perkara itu kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).