LEE ZII JIA, DATO’ AZIZUL HASNI AWANG ANTARA ATLET PROSPEK EMAS DI OLIMPIK PARIS
LEE ZII JIA, DATO’ AZIZUL HASNI AWANG ANTARA ATLET PROSPEK EMAS DI OLIMPIK PARIS
April 7, 2023 8:18 am
PUTRAJAYA, 7 APRIL – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jawatankuasa Road To Gold (RTG) telah menyenaraikan calon-calon atlet yang berpotensi untuk menghadiahkan kilauan pingat emas di Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Beberapa nama besar seperti Dato’ Mohd Azizulhasni Awang, Dato’ Pandelela Rinong Pamg dan barisan atlet badminton negara seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia/Soh Wooi Yik, Pearly Tan/M. Thinaah, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing tersenarai dalam program RTG dan senarai ini dijangka akan berubah tertakluk kepada persetujuan Jawatankuasa RTG dan pemantauan berkala.
Selain itu, sekretariat RTG juga ditubuhkan dengan dipimpin oleh Stuart Ramalingam yang bertindak sebagai Penyelaras dan dibantu oleh dua orang pembantu teknikal iaitu Dato’ Dr. Ramlan Aziz dan Josiah Ng.
Penyelaras beserta Datuk Nicol David, Dato’ Wira Lee Chong Wei dan Datuk Mirnawan Nawawi akan memulakan pertemuan bersama atlet RTG dan jurulatih mereka dalam masa sebulan untuk mendengar keperluan yang diperlukan oleh mereka dan mendapatkan persetujuan serta komitmen mereka untuk mengikuti program RTG ini.
Sementara itu, anggaran perbelanjaan program RTG hanya boleh ditentukan selepas pertemuan bersama semua atlet RTG dan akan diumumkan selepas dikemaskini dan dipersetujui oleh Jawatankuasa RTG.
Jawatankuasa juga telah memutuskan untuk tidak mengikut serta keputusan beberapa negara yang dikatakan mahu memboikot temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan segala tindakan Jawatankuasa RTG ini selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (Olympic Charter) yang tidak membawa politik ke dalam sukan.