KUALA LUMPUR, 10 APRIL – Pemain Tenis Kebangsaan, Koay Hao Sheng menunjukkan aksi cemerlang sekali gus menjulang kejuaraan perseorangan lelaki dalam Terbuka Pattaya 2023, semalam.
Pemain berusia 25 tahun dari Perlis itu menewaskan pemain tuan rumah, Guntinun Sootinun-Opart 6-3 dan 6-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Greta Resort and Sport Club, Pattaya, Thailand.
Menurut Hoa Sheng, dia berasa sangat teruja untuk kembali beraksi di gelanggang selepas berehat selama empat bulan.
“Ini merupakan kejohanan pertama untuk tahun ini dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini.
“Kemenangan dan kejohanan ini adalah persiapan untuk saya ke Sukan Sea di Kemboja. Sudah pasti kemenangan ini memberikan keyakinan sekali gus untuk memberikan yang terbaik.
“Selain itu, harapan saya agar bersama-sama dengan pasukan Malaysia dapat mengharumkan nama negara,” katanya.
Beliau juga berpuas hati dengan keputusan kejohanan serta menzahirkan rasa berterima kasih kepada penaja, keluarga dan rakan-rakan yang memberi semangat serta sokongan untuknya sepanjang perjalanan bagi menjuarai kejohanan itu.
Katanya, kejohanan itu akan menjadi pemangkin semangat untuk beraksi dengan lebih baik dalam Sukan SEA di Kemboja tahun ini.