fariszolkefli

PRA-SUKAN SEA: SKUAD SEPAK TAKRAW NEGARA TUNDUKKAN WAKIL THAILAND

PRA-SUKAN SEA: SKUAD SEPAK TAKRAW NEGARA TUNDUKKAN WAKIL THAILAND

April 12, 2023 3:42 am

KUALA LUMPUR, 12 APRIL – Skuad sepak takraw negara terpaksa berhempas pulas sebelum mampu menundukkan Universiti Pathumthani Thailand 5-3 pada hari pertama siri perlawanan ujian sepak takraw pra-Sukan SEA Kemboja di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun ini membuka langkah kanan daripada lapan perlawanan itu menerusi regu Zulkifli Razak (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) yang menang 21-9, 21-13.

Namun pelawat yang dibimbing bekas tekong juara Sukan SEA Korat 2007, Niphat Wongprasoet, mengikat kedudukan 1-1 apabila menewaskan Haziq Hairul Nizam (Meor Zulfikar Mat Amin), Noraizat Nordin (Hafizul Hayazi Adnan) dan Norfaizzul Razak 21-18, 13-21, 21-16.

Giliran Universiti Pathumthani pula tiba untuk mendahului 2-1 menerusi kemenangan 21-14, 21-18 yang turut diperkasa Aekkasit Naphom, bekas perejam pasukan Liga Sepak Takraw (STL), Penang Black Panthers.

Mereka menumpaskan Najmi Syahfiq Anuar, Norhafizzi Razak dan Farhan Adam sekalipun regu negara membuat pertukaran tekong, Ahmad Aizat Nor Azmi dan perejam, Baihakki A’ripin.

Tuan rumah walau bagaimanapun kembali menjadikan kedudukan terikat 2-2 apabila Zarif Marican Ibrahim Marican, Shahalril Aiman Halim dan Muqlis Borhan menang 21-18, 21-15.

Haziq yang kali ini bertukar apit kanannya dengan Khairol Zaman Hamir Akhbar sebelum digantikan oleh Hafizul di samping apit kiri, Norfaizzul, melebarkan pendahuluan tuan rumah 4-2 apabila menang 17-21, 21-18, 21-12.

Malangnya, pelawat sempat mencuri satu lagi kemenangan untuk merapatkan jurang 3-4 setelah mengalahkan Hairul Hazizi Haidzir (Aizat), Baihakki (Norhafizzi) dan Farhan 21-13, 21-13.

Siri ujian yang akan diteruskan sehingga awal pagi Jumaat ini, turut menjadualkan sembilan perlawanan beregu dengan Universiti Pathumthani.

Malaysia akan menyertai acara regu berpasukan, antara regu dan beregu iaitu tiga daripada enam acara kategori lelaki dalam Sukan SEA Ke-32 di Phnom Penh dari 6 hingga 16 Mei ini.

Skuad negara hanya membawa pulang tiga pingat perak tiga acara berkenaan daripada Sukan SEA Vietnam di Hanoi, tahun lalu.

Kali terakhir pingat emas Sukan SEA dimenanginya adalah dalam antara regu di Kuala Lumpur 2017 tanpa penyertaan musuh tradisi, Thailand.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SepakTakraw #SEAGamesTestMatch

Kredit: Bebas News

Sumber Gambar: Bebas News