SAO PAULO, 17 APRIL – Dua gelaran juara disandang oleh jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou semalam dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa Para Brazil.
Pemenang pingat Emas Paralimpik Tokyo 2020 itu memulakan hari cemerlangnya dengan memenangi acara perseorangan lelaki kategori SU5 menewaskan rakan senegara, Muhammad Fareez Anuar dalam aksi sengit selama 29 minit berkesudahan dengan keputusan 21-19, 21-19.
Kedua-dua pemain ini ternyata tidak kenal erti penat apabila kemudiannya bergandingan dalam acara beregu lelaki kategori SU5 tidak lama selepas itu bertemu pilihan pertama kejohanan iaitu beregu India, Chirag Baretha-Raj Kumar.
Hanya 25 minit sahaja masa diperlukan oleh pasangan negara untuk menewaskan beregu India itu dengan keputusan 21-13, 21-18 sekali gus melebarkan rekod kemenangan buat kali ketiga berturut-turut ke atas lawan yang sama.
Sementara itu, kem badminton negara turut meraih pingat Gangsa menerusi gandingan beregu lelaki, Noor Azwan Noorlan-Muhammad Ikhwan Ramli dalam kategori WH1-WH2 yang sebelum itu tewas di peringkat separuh akhir kepada pasangan India, Prem Kumar Ale-Abu Hubaida 20-22, 21-14, 24-22.