PUTRAJAYA, 18 APRIL – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang juga merupakan antara pemegang taruh utama dalam pembangunan dan pelaksanaan aktiviti sukan menandatangani akuan sokongan Kod Sukan Selamat bersama Kementerian Belia dan Sukan hari ini di Menara KBS, Putrajaya.
Seramai 60 orang wakil yang terdiri daripada pentadbir dan penggiat sukan di bawah KPM dan KPT menandatangani perakuan sokongan Kod Sukan Selamat sebagai lambang komitmen dalam pelaksanaan kod ini, seterusnya mewujudkan persekitaran sukan yang selamat kepada atlet dan seluruh komuniti sukan di bawah ekosistem masing-masing.
“Saya percaya majlis tandatangan pada hari ini adalah cerminan kepada komitmen semua pemegang taruh dalam memastikan persekitaran sukan kita di Malaysia adalah bebas daripada segala bentuk penderaan dan gangguan seterusnya meningkat tahap pencapaian sukan negara di peringkat antarabangsa,” kata YB Hannah selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat Bersama KPM dan KPT.
Semua wakil yang hadir telah dijelaskan mengenai fungsi Kod Sukan Selamat seperti melindungi komuniti sukan daripada sebarang bentuk penderaan, gangguan dan keganasan dalam sukan yang menjejaskan kesihatan mental dan fizikal serta mengukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus Badan Sukan dan ekosistem sukan Malaysia secara keseluruhan.
Kod ini memberi tafsiran kepada jenis-jenis salah laku yang berlaku dalam sukan berpandukan kepada garis panduan antarabangsa dan juga undang-undang tempatan.
Selain itu, ia juga menerangkan peranan dan tanggungjawab semua pemegang taruh seperti atlet, jurulatih, badan sukan, ibu bapa dan organisasi berkaitan sukan serta mekanisme pelaporan sedia ada yang boleh digunakan oleh semua penggiat sukan.
Semua organisasi terutamanya yang bernaung di bawah KPM dan KPT perlulah memastikan polisi atau garis panduan dalaman masing-masing adalah selari dengan Kod Sukan Selamat terutama dalam pelaksanaan dan penganjuran aktiviti sukan bagi menangani kes gangguan dan penderaan dalam sukan serta mempromosikan amalan sukan selamat.