fariszolkefli

SIC LANCAR KALENDAR SEMENTARA MALAYSIA CHAMPIONSHIP SERIES BAGI MUSIM 2023

SIC LANCAR KALENDAR SEMENTARA MALAYSIA CHAMPIONSHIP SERIES BAGI MUSIM 2023

May 2, 2023 3:54 am

SEPANG, 2 MEI – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) secara rasmi mengumumkan kalendar sementara 2023 Malaysia Championship Series (MCS) yang akan menampilkan 4 pusingan dengan 7 perlumbaan kesemuanya.

Perlumbaan pembukaan musim iaitu Pusingan 1 dijadualkan bermula pada 5 hingga 7 Mei 2023, diikuti Pusingan 2 pada 23 hingga 25 Jun 2023, Pusingan 3 pada 25 hingga 27 Ogos 2023, dan akhir musim Pusingan 4 pada 22 hingga 24 September 2023.

MCS akan terus menampilkan empat kategori termasuk Touring Production (TP) untuk pengeluaran yang diubah suai dan kereta turbo sehingga 2000cc, Malaysia Touring Car (MTC) yang diubah suai untuk kelas kereta dengan enjin sehingga 1600cc, Stock Production 1 (SP1) untuk kereta sehingga 2000cc, dan Stock Production 2 (SP2) untuk kereta dengan enjin di bawah 1600cc.

Pusingan pertama juga akan menampilkan TGR Vios Sprint Cup, Caterham/Asia Classic Car Challenge, dan Lamborghini Super Trofeo Asia sebagai perlumbaan sokongan.

“Sejak perasmiannya pada 2002 sebagai Malaysia Super Series (MSS) dan dijenamakan semula kepada Malaysia Championship Series (MCS) pada 2015, MCS menjadi kejohanan kebangsaan paling lama yang diadakan di SIC dengan objektif utama untuk menarik minat dalam perlumbaan kereta dan mencungkil bakat belia dalam sukan permotoran.” 

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Belia & Sukan (KBS), Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), dan Yokohama Tyre Sales Malaysia (YTSM) sebagai Pengedar Tayar Rasmi untuk musim 2023 atas usaha gigih mereka dalam menyokong pasukan dan pemandu dalam kejohanan,” kata Azhan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif SIC.

Para peminat MCS boleh menyaksikan keghairahan deruman enjin di SIC dengan kemasukan secara percuma ke Grandstand Utama atau boleh menonton penstriman langsung di laman Facebook SIC.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MalaysiaChampionshipSeries2023  #MotorsportMalaysia #SepangInternationalCircuit #SIC

Sumber Gambar: Sepang International Circuit