PUTRAJAYA, 3 MEI – Buat julung kalinya Malaysia diberi amanah oleh World Dodgeball Federation (WBDF) sebagai tuan rumah untuk Kejohanan Dodgeball Asia Pacific Invitational Malaysia 2023 (API) yang akan berlangsung pada 25 hingga 28 Mei ini bertempat di Kompleks Sukan Shah Alam, Selangor.
Kejohanan bertaraf dunia ini disertai seramai 1,100 orang peserta daripada 137 buah pasukan yang telah mendaftar, yang mana ia juga melibatkan penyertaan pasukan dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Kanada, United Kingdom, Singapura, Laos, Australia, Brunei, Hong Kong dan beberapa lagi negara lain.
Menurut Dato’ Radha Krishnan, Presiden Malaysian Association of Dodgeball (MAD), Malaysia juga sedang mencuba untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan dunia pada 2026.
Tambahnya lagi, WBDF sedang mengadakan rundingan bersama Persekutuan Sukan Komanwel untuk meletakkan dodgeball ke dalam Sukan Komanwel yang bakal dilangsungkan di Edmonton, Canada pada tahun 2030.
“Saya turut berbangga apabila Malaysia diberikan peluang menjadi tuan rumah bagi kejohanan berprestij bertaraf dunia ini. WBDF juga telah memberi pengiktirafan serta sokongan dan ini adalah peluang terbaik untuk kita buktikan yang Malaysia mampu menjadi penganjur kejohanan bertaraf dunia.
“Kita juga mempunyai fasiliti dan sokongan penuh daripada kementerian, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN), Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan agensi kerajaan yang lain bagi menjayakan kejohanan ini,” kata YB Adam Adli ketika Majlis Pelancaran Kejohanan Dodgeball Asia Pacific Invitational 2023 bertempat di Menara KBS sebentar tadi.
Untuk rekod, pasukan dodgeball negara berhasil menjulang beberapa kejohanan dunia antaranya kejayaan pasukan lelaki negara menggondol emas dan pasukan campuran negara membawa pulang perak di World Dodgeball Championship bertempat di Edmonton, Kanada, tahun lalu.