fariszolkefli

GO BIG OR GO HOME – TARUHAN MXKIDS FUNRACE SERIES 2023

GO BIG OR GO HOME – TARUHAN MXKIDS FUNRACE SERIES 2023

May 5, 2023 8:51 am

KAMPAR, 5 MEI – Selepas kejayaan penganjuran MXKIDS Funrace Series 2022, MXKIDS diberi kepercayaan oleh penganjur Malaysian Motocross Championship 2023 (MMC 2023) yang akan bermula pada Jun 2023 untuk membawa acara MXKIDS ke dalam perlumbaan kebangsaan ini dengan penggunaan slogan Go BIG or Go Home sebagai taruhan bagi penganjuran edisi pada tahun ini.

Bagi edisi 2023, dua kategori baharu akan dipertandingkan iaitu 50cc rookie dan 65cc rookie selain daripada kategori utama iaitu MX50, MX65 dan MX85. Pengenalan kategori rookie ini dianjurkan khas untuk pelumba-pelumba baharu yang mula berjinak dan sebagai platform percubaan untuk ibu bapa mengenal pasti minat dan tahap potensi anak sama ada untuk pergi lebih jauh di dalam kategori advance MX50 dan MX65 yang dipertandingkan.

Selain itu, satu lagi kategori baharu MX125cc, turut dipertandingkan; ia adalah kategori penyambung untuk MX85cc agar pelumba lebih bersedia sebelum memasuki alam novice/semi pro – Untuk pengetahun semua, kategori 125cc ini telah lama dipertandingkan di negara-negara jiran terdekat di mana kategori ini dibuat khas untuk umur 15 hingga 17 tahun dan penganjur berharap pada tahun ini ia dapat menarik lebih ramai lagi pelumba muda bagi mencungkil bakat-bakat baharu.

Terdahulu, dalam penganjuran MXKIDS Funrace Series 2022, sebanyak empat pusingan telah berjaya dianjurkan dengan jayanya dan bagi pusingan terakhir telah dianjurkan pada 17-18 Disember 2022 bertempat di Kampung Sahom Kampar, Perak.

Pusingan akhir telah disertai oleh 96 pelumba cilik di mana 9 penyertaan adalah bagi kategori Terbuka Wanita yang terdiri daripada ahli keluarga pelumba sendiri. Siri jelajah tersebut merupakan medan pertempuran terakhir buat anak-anak dalam kategori Cadet 50cc, Cadet 65cc dan Junior 85cc di mana 7 kategori telah dipertandingkan.

Bagi kategori Cadet 50cc, ia dimenangi oleh Muhammad Adam Syakir Mohd Syukri dari Pahang dengan 162 mata. Kategori Cadet 65cc pula dimenangi oleh Muhammad Zill Qayyim Muhammad, juga dari Pahang dengan 141 mata dan Muhammad Zhafran Aniq Muhammad, juga dari Pahang berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori Junior 85cc dengan 155 mata.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Motocross #MXKIDSFunraceSeries2022 #MalaysianMotocrossChampionship2023 

Sumber gambar: MXKIDS