fariszolkefli

KUALA LUMPUR LAWN TENNIS ASSOCIATION KINI DIKENALI SEBAGAI TENNIS KL

KUALA LUMPUR LAWN TENNIS ASSOCIATION KINI DIKENALI SEBAGAI TENNIS KL

May 8, 2023 5:48 am

KUALA LUMPUR, 8 MEI – Kuala Lumpur Lawn Tennis Association (KLLTA) diberikan nafas baharu dengan penjenamaan kepada tiga bahagian utama iaitu nama persatuan menjadi Tennis KL, perkembangan terkini persatuan dan bimbingan terhadap pemain muda dalam merangsang pemain-pemain tenis tempatan.

Penjenamaan baharu ini bertujuan untuk memudahkan pengurusan komunikasi terutamanya buat masyarakat umum yang belum mengenali persatuan ini sejak kewujudannya pada tahun 1999. Penjenamaan ini turut mengambil kira perkembangan arus semasa khususnya hebahan maklumat yang disampaikan menerusi platform media sosial seperti Twitter, Instagram dan TikTok agar lebih mudah dicapai oleh lapisan masyarakat.

“Dunia sukan tenis sudah berubah, perkembangan terkini Tennis KL adalah untuk mempersiap dan membangunkan pemain-pemain muda tempatan untuk mewakili Kuala Lumpur dalam perlawanan-perlawanan berskala kecil dan besar termasuk perlawanan Pingat Bulanan, Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Remaja Kebangsaan, dan Sukan Malaysia (SUKMA).

“Tumpuan juga akan diberikan kepada perlawanan Pingat Bulanan bagi mendedahkan kanak-kanak seawal usia lapan tahun untuk menyesuaikan diri dalam perlawanan serta membina watak mereka daripada segi mental dan emosi untuk bertanding,” kata Mirzan Mahathir, Presiden Tennis KL.

Selain itu, Tennis KL juga bertanggungjawab dalam penyediaan pemain-pemain muda untuk melayakkan mereka untuk menyertai temasya SUKMA dengan mengambil tindakan proaktif melalui bimbingan Ketua Jurulatih, Abd. Hazli yang juga merupakan bekas jurulatih kebangsaan dan Azizul Azhar (jurulatih dan bekas pemain Kuala Lumpur) untuk meraih pingat dalam temasya ini.

Pemain tenis muda tempatan juga bakal berdepan dengan perlawanan-perlawanan terbuka seperti KL Open, Medrush TennisKL Allstar 2023 dan aktiviti Tennis Holiday Camp dengan bimbingan jurulatih berpengalaman.

Tennis KL turut menerima sokongan dana daripada Medrush dan rakan kongsi daripada Wilson, CMCI dan COF Music serta mempelawa semua agensi-agensi untuk memberi bantuan dan dorongan kepada pembangunan sukan tenis Malaysia khususnya bagi golongan muda yang berpotensi besar sebagai pelapis untuk meneruskan legasi sukan tenis di Malaysia.

Sementara itu, bintang tenis muda tempatan, Rio Mikaela Zahri yang baru sahaja pulang dari Eropah bagi liga tenis Bawah 10 (B-10) di Akademi Tenis Porto Rico, Mallorca, Sepanyol mencipta sejarah apabila muncul pemain yang tidak pernah kalah dalam liga tersebut dan juga mewakili Malaysia dalam Kejuaraan TenPro Global di Akademi Rafael Nadal. Selain itu, bintang muda ini juga berkesempatan menemui jaguh tenis dunia, Rafael Nadal semasa berada di akademi tersebut.

Selepas menunjukkan prestasi cemerlang di Mallorca, Mikaela bergabung bersama kelab tenis terkemuka di Bosnia, Teniski Klub Bosna bagi menjalani latihan di bawah bimbingan salah satu pemain tenis terbaik Eropah, Zlatan Kadric bersama pemain B-10 nombor satu di Bosnia dan terbaik di Eropah, Amajla Kadric.

Hasil usaha keras Mikaela membuahkan hasil apabila dijulang sebagai juara dalam Kejohanan Terbuka KL bagi kategori B-10 yang berlangsung pada 8 hingga 12 Februari lalu bertempat di Pusat Tenis Negara, Kuala Lumpur.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Tennis #TennisKL #RioMikaela #TeniskiKlubBosna

Sumber gambar: Tennis KL & Rio Mikaela