MENTALITI JUARA ASET KEKUATAN SKUAD HOKI PADANG NEGARA
MENTALITI JUARA ASET KEKUATAN SKUAD HOKI PADANG NEGARA
May 10, 2023 6:57 am
PUTRAJAYA, 10 MEI – Pengendali skuad hoki lelaki padang negara, Amin Abdul Rahim menggesa anak buahnya agar berjuang habis-habisan dalam misi mengembalikan maruah negara yang tercalar selepas kekalahan mengejut pasukan hoki dalam dewan negara pada Ahad.
Pasukan hoki lelaki negara akan turun beraksi bertemu tuan rumah, Kemboja hari ini, jam 5 petang waktu Malaysia dalam pusingan Round Robin sebelum dijadual menentang Singapura pada Jumaat, Thailand (13 Mei) dan Indonesia (14 Mei).
“Walaupun kami adalah pilihan utama, kami perlu menghormati semua pasukan lain yang bertanding dan tidak boleh mengambil mudah.
“Mentaliti juara perlu ketika ini dalam setiap diri pemain untuk mereka keluar beraksi dan meraih kemenangan,” jelas Amin semalam.
Selain itu, kegusaran terhadap kualiti padang di Kompleks Sukan Morodok Techo turut disuarakan oleh pengendali skuad hoki lelaki negara selepas mendapati terdapat bonjolan di kawasan tertentu padang malahan ia juga sedikit beralun dan berat.
Sejak tiba di Phnom Penh pada hari Ahad, skuad negara hanya sempat berlatih sekali sahaja di padang pertandingan.