haziq

IRONMAN DESARU COAST RAIH PENYERTAAN MENGGALAKKAN

IRONMAN DESARU COAST RAIH PENYERTAAN MENGGALAKKAN

May 15, 2023 7:22 am

KOTA TINGGI, 15 MEI – Festival Pelbagai Sukan Desaru Coast 2023 berlangsung dengan jayanya hujung minggu lalu menyaksikan penyertaan lebih 1,250 peserta dari lebih 50 negara.

Antara acara yang menjadi tumpuan pastinya Ironman 70.3 Desaru Coast, 5150 Triathlon Desaru Coast, Desaru Coast Sprint Triathlon dan Ironkids Desaru Coast yang mana acara utama menawarkan 55 slot kelayakan ke Kejohanan Dunia Ironman 70.3 2023 di Lahti, Finland pada 25 Ogos khas untuk peserta wanita.

Hampir 900 peserta menyertai acara utama yang memerlukan mereka berenang sejauh 1.9km dari Westin Desaru Coast Resort kemudiannya ke laluan berbasikal sejauh 90km, diikuti dengan larian sejauh 21km yang berakhir di pusat peranginan itu.

Wakil negara, duo adik beradik Daniel John Chen dan Esther Joy Chen masing-masing unggul muncul sebagai peserta dari Malaysia terpantas sampai ke garisan penamat. 

Esther Joy yang pernah mewakili negara di temasya SEA Hanoi 2022 merekodkan catatan masa 5j 3m 9s manakala Daniel John, 5j 3m 44s.

Paling menarik, Esther merekodkan catatan itu biarpun baru sahaja pulih daripada Covid-19 seminggu lalu bahkan tidak mengharapkan sesuatu yang besar bagi perlumbaan Ironman 70.3 sulungnya.

Sementara itu, Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, atlet duathlon negara yang baru sahaja pulang daripada menyertai Sukan SEA 2023 menduduki tempat ketiga bagi kumpulan umur 30-39 dengan catatan masa 5j 31m 11s.

Pujian harus diberikan kepada Tahira yang kini berusia 34 tahun memandangkan beliau mampu membahagikan masa untuk menjalani latihan bagi kejohanan sukan lasak ini dan temasya Sukan SEA.

Juara keseluruhan jadi milik wakil Australia, Harry Sinclair yang melepasi garisan penamat dengan catatan masa 4j 26m 27s sekali gus juara bagi kategori lelaki manakala  Choo Ling Er, juara musim lalu dari Singapura muncul wanita terpantas dengan masa 4j. 49m 52s.

Michael Turoczy, peserta yang berpangkalan di Jepun merekodkan masa 7j 54m 25s untuk muncul peserta lelaki tertua terpantas manakala Michiyo Sekiya dari Jepun merupakan peserta wanita tertua terpantas dengan catatan masa 7j 12m 13s.

Acara Triathlon Sprint juga tidak kurang hebatnya apabila peserta perlu berenang sejauh 750m, diikuti dengan 20km berbasikal dan 5km larian manakala acara Triathlon 5150, peserta perlu berenang 1.5km, berkayuh 40km dan larian 10km.

Thiang Choong Yong, bekas atlet Triathlon negara muncul sebagai lelaki terpantas keseluruhan bagi acara Sprint dengan rekod masa 2j 19m 28s manakala juara kategori wanita jadi milik wakil Australia, Leanne Szet – 2j 24m 13s.

Wanita Malaysia terpantas bagi acara Sprint diungguli oleh Effarezan Abdul Rahman dengan catatan masa 3j 13m 50s.

Festival Pelbagai Sukan Desaru Coast tahun ini turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan sepanjang hujung minggu, termasuk Klinik Selancar Milo X Wabby Hub, Five Club Speed Gold dan Desaru Coast Festival Village untuk pengunjung festival hujung minggu.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #IronmanDesaru #Ironman70.3

Sumber : The VIbes

Sumber Gambar : Bernama