NUR AMEER BAWA CABARAN NEGARA KE SUKAN OLIMPIK KHAS DUNIA, BERLIN
NUR AMEER BAWA CABARAN NEGARA KE SUKAN OLIMPIK KHAS DUNIA, BERLIN
May 16, 2023 7:44 am
IPOH, 16 MEI – Malaysia akan mempunyai wakil ke temasya Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin, Jerman yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 25 Jun ini.
Nur Ameer Muqsiq, remaja yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran berusia 19 tahun telah dipilih oleh Olimpik Khas (SO) Perak selepas beliau memenangi pingat emas dalam dua acara iaitu larian 100 meter (m) dan lompat jauh pada temasya Sukan Olimpik Khas Malaysia di Melaka, Ogos tahun lalu.
“Ini merupakan kali pertama saya akan mewakili negara. Saya rasa seronok dan gementar.
“Saya telah mula berlatih sejak tahun lepas. Saya berlatih dua kali seminggu di rumah dan di Stadium Perak bersama jurulatih,” katanya kepada pemberita pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Akademi Hoki Raja Ashman Shah Persekutuan Hoki Asia (AHF) semalam.
Difahamkan, Nur Ameer yang turut menghidap disklesia akan membawa cabaran negara dalam tiga acara iaitu larian 100m, 4x100m dan lompat jauh.
S.Manogaran, jurulatih atlet istimewa ini turut mendedahkan beliau adalah seorang yang sangat mendengar kata dan sentiasa memberi sepenuh perhatian ketika melakukan latihan.
“Saya pernah beberapa kali bawa dia untuk melihat perlawanan di stadium, dia begitu teruja dan berkata ingin berlatih bersungguh-sungguh untuk mewakili negara,” tambahnya.
Sukan Olimpik Khas Dunia merupakan temasya sukan khusus bagi orang kurang upaya (OKU) yang mempertandingkan 26 acara termasuk badminton, olahraga, boling dan berbasikal.
Edisi 2023 juga dijangka menerima penyertaan kira-kira 7,500 peserta dari negara di seluruh dunia.