haziq

SIRI PERLUMBAAN AKAR UMBI MUSIM KE-3 BAKAL SAJI 5 PUSINGAN DI 4 LITAR BERBEZA

SIRI PERLUMBAAN AKAR UMBI MUSIM KE-3 BAKAL SAJI 5 PUSINGAN DI 4 LITAR BERBEZA

May 17, 2023 9:02 am

KUALA LUMPUR, 17 MEI – Acara tahunan bagi perlumbaan peringkat akar umbi, FIM MiniGP Malaysia Series dan SIC Ohvale Junior Championship kini kembali lagi bagi musim ke-3 yang mana kali iai bakal menyajikan 5 pusingan di 4 litar berbeza mulai hujung minggu ini. 

Pusingan pertama akan diadakan di Litar UniMAP, Perlis pada 20 – 21 Mei 2023, manakala pusingan kedua di Litar Morac Adventure Park Langkawi, Kedah pada 17 – 18 Jun 2023. 

Litar Lumba Tangkak, Johor merupakan lokasi bagi pusingan ketiga yang dijadualkan pada 5 – 6 Ogos 2023, manakala pusingan keempat  dan pusingan terakhir akan diadakan di Litar Antarabangsa Kart Sepang (SIKC) pada  2 – 3 September 2023 dan 14 – 15 Oktober 2023.

FIM MiniGP Malaysia Series merupakan kategori utama yang akan menampilkan 18 pelumba dalam lingkungan umur 12 hingga 14 tahun termasuk 4 pelumba dari luar negara iaitu Singapura, Vietnam dan China yang akan menunggang jentera lumba Ohvale 160cc. 

Sementara itu, 15 pelumba termasuk 5 pelumba dari Australia, Hong Kong, Vietnam dan China yang berumur 8 hingga 12 tahun akan menunggang jentera lumba Ohvale 110cc dalam SIC Ohvale Junior Championship.

“MAM ingin mengucapkan tahniah kepada ZK Racing atas kejayaan menganjurkan kejuaraan FIM MiniGP Malaysia ini untuk musim ketiga dengan memperlihatkan kemajuan yang berterusan dalam misi memperkasakan pembangunan bakat dalam sukan pemotoran khususnya di peringkat akar umbi. 

“Harapan MAM agar lebih banyak pihak di luar sana turut menyokong usaha murni Kerajaan melalui MAM dalam menghasilkan lebih banyak bakat di kalangan pelumba tempatan untuk beraksi secara profesional di peringkat yang lebih tinggi,” menurut Presiden Motorsports Association of Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir.

Siri kejuaraan kali ini juga lebih meriah dengan kerjasama Malaysian Supermoto Championship. Saksikan secara langsung aksi perlumbaan sengit melalui Facebook FIM MiniGP Malaysia dan SIC Ohvale Junior Championship.

Untuk rekod, Malaysia mempunyai wakil menerusi pelumba muda negara dalam pembikinan, Qabil Irfan Azlan dan Adi Putra Anahar sewaktu kelayakan Kejuaraan FIM MiniGP Dunia tahun lalu.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FIMMiniGPMalayia #SICOhvaleJuniorChampionship #ZKRacing

Sumber Gambar : ZK Racing