haziq

STL 2023 KEMBALI DENGAN 10 PASUKAN, 13 IMPORT DARI THAILAND & INDONESIA

STL 2023 KEMBALI DENGAN 10 PASUKAN, 13 IMPORT DARI THAILAND & INDONESIA

May 18, 2023 9:01 am

KUALA LUMPUR, 18 MEI – 10 pasukan akan berentap dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2023 yang akan mula membuka tiranya pada 26 Mei hingga 5 Ogos ini dengan Kuala Kangsar, Perak menjadi gelanggang pertama.

Saingan musim baharu ini juga akan diserikan dengan kehadiran 13 pemain import dari Thailand dan Indonesia yang dijangka menghadirkan saingan lebih sengit bersama jaguh sepak takraw tempatan.

Sedikit perubahan juga dilakukan pada saingan kali ini yang mana  Dewan Jubli Perak menjadi lokasi pertama STL berbanding Stadium Titiwangsa di ibu negara pada musim lalu.

Difahamkan, antara pemain handalan yang akan mewarnai saingan musim ini ialah Aekasit Naphom, Natthawut Naewprom dan Viktoria Eka Prasetyo.

“Saya difahamkan Aekasit bakal memperkuatkan Penang Black Panthers, manakala, Natthawut dan Viktoria bersama Perak Bison,” jelas bekas pemain sepak takraw kebangsaan yang kini bergelar penyampai Astro Arena, Azlan Abdul Mubin sewaktu ditemu bual media.

Menurut Azlan, cuma juara bertahan, ATM Guardians, Ne­geri Sembilan Antlers dan KPT-Masum Knights tidak membawa masuk tenaga import, manakala, tujuh lagi pasukan ada mengambil pemain luar.

STL 2023 juga akan menjelajah ke Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan berakhir di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, manakala, STL Champion Cup yang bakal menarik penyertaan pasukan jemputan dari Thailand, Korea Selatan, Indonesia, Filipina dan Singapura diadakan di Johor bermula 30 Julai.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #STL2023 #SepakTakrawMalaysia

Sumber : Utusan Malaysia

Sumber Gambar : Sepak Takraw League