fariszolkefli

QABIL IRFAN TAWAN LITAR UNIMAP

QABIL IRFAN TAWAN LITAR UNIMAP

May 22, 2023 7:39 am

ARAU, 22 MEI – Qabil Irfan Azlan menepati ramalan selepas mengungguli saingan pembukaan musim 2023 kejuaraan FIM MiniGP Malaysia 160cc dengan mencatat kemenangan berganda pada perlumbaan yang diadakan di Litar Lumba UNIMAP di Arau, Perlis semalam.  

Mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan dengan catatan masa terbaik 51.684 saat menggunakan jentera Ohvale 160cc, Qabil Irfan, berusia 11 tahun dari Terengganu bermula dari petak pertama pada Perlumbaan 1, menguasai perlumbaan darI selekoh pertama dan terus mendominasi perlumbaan dengan menamatkan Perlumbaan 1 sepanjang 18 pusingan itu dalam masa 15 minit 51.744 saat dan 12.975 saat di hadapan pemenang kedua Airel Ahmad Marzuki. Tempat ketiga pula disandang oleh penunggang Vietnam, Nguyen Viet Tuan, dengan catatan masa 16 minit 17.587 saat.

Juara keseluruhan kejuaraan musim lepas yang mewakili negara pada Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022 di Litar Ricardo Tormo, Valencia bersama-sama Adi Putra Anahar turut mengulangi persembahan meyakinkan pada Perlumbaan 2 dengan meninggalkan Airel Marzuki 8.141 saat di tempat kedua dan tempat ketiga sekali lagi dimenangi oleh Nguyen Viet Tuan.

Seperti tahun lepas, dua penunggang terbaik pada saingan kelas perdana dalam lima pusingan, bakal dipilih untuk mewakili negara pada kejuaraan dunia yang akan diadakan di Valencia, Sepanyol pada November ini. 

Pada saingan SIC Ohvale Junior Championship 110cc, Aidil Zariff, yang membuat penampilan kedua pada musim ini, mencatatkan keputusan cemerlang dengan memenangi kedua-dua Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2; dengan Fahim Naufal dan Rishi Keshan Kishi masing-masing di tempat kedua dan ketiga untuk kedua-dua perlumbaan.

Selepas mencatatkan kemenangan membanggakan dengan jurang besar 17.322 saat pada Perlumbaan 1, Fahim, yang juga bersaing dalam musim kedua, lebih mencabar pada Perlumbaan 2; tetapi terpaksa akur kepada kehebatan Aidil dan menamatkan perlumbaan 6.650 saat di belakang. Manakala Rishi, ketinggalan lebih jauh 28.610 di belakang.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FIMMiniGPMalaysiaSeries2023 #SICOhvaleJuniorChampionship2023 #ZKRacingTeam

Sumber Gambar: ZK Racing