JAWATANKUASA PERINGKAT TERTINGGI DIWUJUDKAN MENERAJUI PEMBANGUNAN BAKAT SUKAN BERPRESTASI TINGGI
JAWATANKUASA PERINGKAT TERTINGGI DIWUJUDKAN MENERAJUI PEMBANGUNAN BAKAT SUKAN BERPRESTASI TINGGI
May 30, 2023 7:08 am
PUTRAJAYA, 30 MEI – Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bil. 1/2023 telah diadakan pada hari ini. Ia dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Mesyuarat ini berperanan untuk menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian inisiatif dan program pembangunan sukan termasuklah memperkukuhkan kerjasama pelbagai sektor bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (sporting nation).
Bagi memastikan negara tidak ketinggalan dan seiring dengan negara-negara yang mempunyai pembangunan sukan yang maju, satu jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) diwujudkan dengan dipengerusikan oleh TPM bagi menerajui Pembangunan Bakat Sukan Berprestasi Tinggi yang bertujuan untuk mereformasi sukan. HLC akan memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam masa yang sama, HLC ini akan melihat kepada mencungkil bakat di kalangan anggota tentera dan penguat kuasa melalui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sebanyak tiga (3) kertas pertimbangan dibentang dan dibincangkan kan dalam mesyuarat JKPS hari ini, iaitu: Semakan Semula Keanggotaan, Terma Rujukan dan Tatakelola JKPS; Prestasi Kontinjen Negara di Sukan SEA Cambodia 2023 Serta Cadangan Pelaksanaan Program Penyediaan Atlet Ke Arah Temasya Sukan SEA 2025 dan Sukan SEA 2027 Merentasi Kementerian dan Cadangan Penubuhan Malaysia Sport Integrity (MSI).
Di samping itu, mesyuarat juga bersetuju untuk mempelawa GLC bagi membiayai program-program sukan. Hal ini adalah bagi memangkinkan pembangunan sukan melalui penglibatan pelbagai pemegang taruh terutamanya pihak GLC.
Kerajaan juga amat peka dengan kos dan bil kesihatan penjawat awam yang semakin meningkat. Justeru kerajaan akan menawarkan langkah preventive iaitu semua kementerian perlu memperuntukkan waktu untuk kakitangan kerajaan melaksanakan aktiviti sukan dan riadah setiap minggu.
Melalui Mesyuarat JKPS, isu-isu berkaitan sukan dapat dibincangkan dalam platform ini secara aktif dan berkesan serta dapat diperluas untuk dilibatkan semua agensi Kerajaan dan NGO ke arah memperkasakan pembangunan sukan secara inklusif ke arah melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan sejahtera.
Perancangan dan pelaksanaan inisiatif berkaitan memerlukan kerjasama semua pemegang taruh dalam menjayakan hasrat kerajaan seperti tergaris dalam Dasar Sukan Negara (DSN) dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030).