Faris Zolkefli

GERAN PADANAN SUKAN BANTU PERKEMBANGAN INDUSTRI SUKAN

GERAN PADANAN SUKAN BANTU PERKEMBANGAN INDUSTRI SUKAN

June 1, 2023 3:49 am

PUTRAJAYA, 1 JUN – Sejumlah RM40 juta diperuntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan di bawah inisiatif Geran Padanan Sukan (GPS) melalui Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan.

Geran ini merupakan satu bentuk bantuan kewangan yang diberikan kepada Syarikat, Persatuan Sukan, Agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Koperasi berdaftar yang menganjurkan program dan aktiviti sukan. Ia bertujuan membantu atlet membaiki prestasi dan meningkatkan semangat perpaduan rakyat, membudayakan sukan dan menggalakkan perkembangan industri sukan melalui penganjuran acara sukan di negara ini.

Skop permohonan yang ditetapkan adalah meliputi penganjuran kejohanan sukan bagi meningkatkan ranking di peringkat kebangsaan melibatkan 103 jenis sukan seperti mana dinyatakan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] dan pertandingan sukan gaya hidup.

Pemberian geran ini adalah secara tuntutan bayaran balik selepas program selesai dilaksanakan dengan jumlah pembiayaan sebanyak 50% daripada kos keseluruhan program atau maksimum sehingga RM1 juta. Penganjur dibenarkan memohon lebih daripada satu penganjuran program tetapi setiap permohonan perlu mempunyai konsep dan pengisian yang berbeza.

Bagi tujuan pelaksanaan Geran Padanan Sukan, dua buah sekretariat yang diterajui oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditubuhkan bertujuan untuk semak dan imbang bagi mengelakkan sebarang ketirisan atau favouritism berlaku dalam pelaksanaan program.

Geran Padanan Sukan boleh dimohon secara atas talian melalui laman sesawang https://www.kbs.gov.my/gps.html mulai jam 2 petang ini, 1 Jun 2023. Permohonan Geran Padanan Sukan tertakluk kepada syarat-syarat permohonan yang ditentukan oleh KBS dan keputusan KBS adalah muktamad.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #GeranPadananSukan

Sumber Gambar: Hannah Yeoh