KUALA LUMPUR, 6 JUN – Aniq Asqalani Othman mencatatkan sejarah apabila berjaya terpilih sebagai juara program pencarian bakat bola sepak The Showcase Kuala Lumpur 2023.
Keputusan ini menyaksikan Aniq Asqalani merupakan wakil tunggal dari Malaysia menyertai acara utama The Showcase yang akan berlangsung pada 24 hingga 30 Julai 2023 di Madrid, Sepanyol dikendalikan di pusat kemudahan Royal Spanish Football Federation (RFEF).
Aniq berjaya mengetepikan 87 peserta lain dan menambat hati Ivan Pinol, Jurulatih UEFA Pro A Sepanyol, yang diterbangkan khusus untuk mengadili acara The Showcase Kuala Lumpur ini.
“Program ini membuka peluang kepada peserta untuk meningkatkan lagi cara permainan mereka. Saya di sini selain mengenal pasti kemahiran peserta, turut cuba memantapkan lagi kemahiran peserta. Ramai sebenarnya pemain bola sepak Malaysia yang berbakat besar,” ujar jurulatih Ivan Pinol.
Acara empat hari yang bermula dari Jumaat, 2 hingga 5 Jun 2023 di TIGRE ARENA RRIM Sungai Buloh, Selangor ini bertujuan untuk membangun bakat bola sepak Malaysia. Pemain yang terpilih akan berpeluang diterbangkan ke Madrid untuk menerima latihan profesional Sepanyol pada 24 sehingga 30 Julai 2023 ini.
Menurut Marc Bautista, CEO of The Showcase International, pemain yang terpilih berpeluang merebut tempat ke peringkat seterusnya iaitu menandatangani kontrak profesional dengan salah sebuah kelab terkemuka di Sepanyol dan melangkah satu tangga lagi sebagai pemain antarabangsa.
“Ini adalah acara pertama seumpamanya diadakan di Kuala Lumpur. Pemain bola sepak Malaysia telah menunjukkan bakat yang luar biasa, dan saya berharap acara ini menjadi acara tahunan. Semoga The Showcase Kuala Lumpur dapat menemukan lebih ramai bakat tersembunyi di kalangan para pemain,” ujar Marc Bautista.
Badiuzzaman Jamhari, Pengarah Urusan Bolabros Global Event dalam kenyataanya berkata, beliau gembira dengan kejayaan The Showcase Kuala Lumpur melahirkan pemain bola sepak tempatan, Aniq Asqalani Othman, untuk mewakili Malaysia ke Madrid. Negara patut berbangga dan menyokong Aniq Asqalani sepenuhnya.
Firdaus Mohamed, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) pula menyebut, pihak persatuan akan sentiasa menyokong penganjuran program pencarian bakat bola sepak The Showcase Kuala Lumpur ini.
“Saya berharap Aniq Asqalani dapat mengharumkan nama Malaysia di Madrid pada Julai ini dan seterusnya berjaya diserap masuk ke salah sebuah kelab di Sepanyol. Tujuan murni kami untuk menemui pemain yang terpinggir yang masih tersembunyi bakat mereka telah terlaksana hari ini,” ujar Firdaus Mohamed lagi.
Senarai Penerima Anugerah Khas :
– Penyerang Terbaik: Mohd Mursyid
– Pemain Tengah Terbaik: Afiq Akmal
– Pemain Pertahanan Terbaik: Muzaffar Shah
– Penjaga Gol Terbaik: Muhammad Shafi Qayyim
– Pemain Harapan Terbaik: Hafiz Hashim