fariszolkefli

SKUAD BOLING PADANG NEGARA BURU KEDUDUKAN ‘TOP 5’ DI GOLD COAST

SKUAD BOLING PADANG NEGARA BURU KEDUDUKAN ‘TOP 5’ DI GOLD COAST

June 7, 2023 3:22 am

KUALA LUMPUR, 7 JUN – Skuad boling padang negara menyasarkan untuk mara ke peringkat separuh akhir pada World Bowls Championship dan World Champion of Champions 2023 di Gold Coast, Australia.

Menurut Presiden Persekutuan Boling Padang Negara (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz, sasaran ini adalah untuk memastikan wakil negara menduduki ranking lima teratas dalam kedua-dua kejohanan tersebut yang bakal berlangsung bermula 29 Ogos ini.

“Jika suku akhir, belum tentu kita boleh capai lima teratas, tetapi separuh akhir pastinya kita boleh berada di kedudukan lima teratas dunia. Itulah cita-cita saya sebagai presiden, untuk menjadikan pasukan negara sebagai pasukan yang kuat dan dihormati di mata dunia,” kata Datuk Awalan.

Bagi mencapai hasrat berkenaan, skuad negara bakal menjalani latihan serta siri perlawanan persahabatan menentang India dan England di Kelab Lawan Bowls Mermaid, Australia bermula 21 Ogos nanti.

Skuad negara akan berlepas ke Gold Coast 10 hari lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang di sana, serta siri ujian menentang kedua-dua negara itu.

“Dengan pendedahan dan aksi persahabatan ini, dapatlah membantu jurulatih memperbaiki teknik atau kelemahan pemain serta memperbaiki kedudukan boling padang Malaysia. Di peringkat komanwel dan dunia, kita berada di kedudukan ketujuh setakat ini,” tambah Datuk Awalan.

Beliau juga turut mengumumkan 10 orang pemain yang terdiri daripada 5 orang lelaki dan 5 orang wanita untuk menggalas cabaran negara dalam kedua-dua kejohanan berprestij itu. 

Pemain-pemain yang tersenarai adalah Izzat Shameer Dzulkeple, Mohammad Soufi Rusli, Muhammad Idham Amin Ramlan. Muhammad Hizlee Abdul Rais, dan Muhammad Haiqal Azami. Manakala bagi pemain wanita pula adalah Azlina Arshad, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman, Nur Ain Nabilah Tarmizi, Nurul Alyani Jamil, dan Aleena Nawawi.

Pemilihan ini dilakukan berdasarkan kombinasi atlet berpengalaman dan baharu, dianggap sebagai keputusan terbaik PLBM, supaya dapat memberi kekuatan untuk mencatatkan pencapaian yang terbaik.

World Bowls Championship akan berlangsung bermula 29 Ogos hingga 10 September 2023, diikuti World Champion of Champions bermula 11 hingga 17 September 2023.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #BolingPadang #LawnBowls #LawnBowlsMalaysia #WorldBowlsChampionship #WorldChampionOfChampions

Kredit: BERNAMA

Sumber Gambar: Malaysian Lawn Bowls Federation