fariszolkefli

BIKE & BEANS CAFE PENGEDAR TUNGGAL BASIKAL BERKUALITI ITALI

BIKE & BEANS CAFE PENGEDAR TUNGGAL BASIKAL BERKUALITI ITALI

June 12, 2023 6:58 am

PUTRAJAYA, 12 JUN – Bike and Beans, sebuah kafe basikal yang terletak di Putrajaya, telah mengadakan majlis pelancaran basikal berjenama Officine Mattio, di Bike and Beans Cafe, Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, pada Sabtu lalu.

Serentak dengan majlis pelancaran itu, Bike and Beans Cafe secara rasminya mengumumkan syarikat itu kini menjadi pengedar tunggal bagi jenama tersebut di Malaysia.

Officine Mattio merupakan basikal berjenama dari Itali yang terkenal dengan kualiti basikal buatan tangan. Istimewanya, carbon fiber yang digunakan pada rangka basikal ini merupakan carbon fiber yang sama digunakan pada kenderaan mewah seperti Ferrari dan Lamborghini.

Menurut Pengarah Pemasaran Bike and Beans Cafe, Samsul Kamal Arrifin, keunikan Officine Mattio terletak pada strategi perniagaannya yang mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Selain reka bentuknya yang eksklusif, setiap perincian basikal ini juga dihasilkan dengan penuh teliti.

Pelbagai aktiviti menarik turut berlangsung seperti aktiviti cabutan bertuah dan bidaan. Menarik tentang aktiviti bidaan ini adalah, Bike and Beans telah membuka bidaan basikal Officine Mattio model The Santiago C Levante, yang mempunyai 10 unit sahaja di dunia, manakala basikal yang dibida pada Sabtu lalu bernombor 003.

Turut hadir bagi memeriahkan majlis adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli dan juga beberapa artis terkenal tanah air yang aktif dalam dunia berbasikal seperti Amar Baharin, Baggio Damasutra dan Shahrin Blackrose.

Bike and Beans turut meluahkan rasa yakin bahawa dalam masa terdekat, Officine Mattio akan menjadi jenama basikal premium yang terkenal di Malaysia.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #BikeAndBeans #Bicyclye #OfficineMattio

Sumber Gambar: Bike and Beans Cafe