fariszolkefli

MALAYSIAN MOTOCROSS CHAMPIONSHIP 2023 JANJIKAN AKSI SENGIT 5 PUSINGAN

MALAYSIAN MOTOCROSS CHAMPIONSHIP 2023 JANJIKAN AKSI SENGIT 5 PUSINGAN

June 13, 2023 4:16 am

PUTRAJAYA, 13 JUN – Selepas kejayaan penganjuran Malaysian Motocross Championship 2022, Kelab Motocross TQMX bersama rakan sinergi Motorsport Association Malaysia (MAM) dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) akan menganjurkan Malaysian Motocross Championship 2023 bermula 8 hingga 9 Julai ini bertempat di Pulau Pinang.

Kejohanan kebangsaan ini melibatkan 5 pusingan yang akan berlangsung di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya, Pahang, dan berakhir di Johor.

Beberapa kategori akan dipertandingkan iaitu MX50cc, MX65cc, MX85cc, dan dua kategori baharu bakal diperkenalkan pada edisi 2023 iaitu 50cc rookie dan 65cc rookie bawah 12 tahun – Pengenalan kepada kategori ini adalah bertujuan untuk pelumba-pelumba baharu mula berjinak dalam arena sukan motocross dan sebagai platform untuk ibu-bapa mengenal pasti minat dan potensi anak masing-masing.

Selain itu, satu lagi kategori baharu turut diperkenalkan iaitu MX125cc; sebagai kategori penyambung untuk MX85cc agar pelumba lebih bersedia sebelum memasuki alam novice/semi pro – Kategori ini telah lama dipertandingkan di negara-negara jiran yang mana ia dibuat khusus untuk pelumba berumur 15 hingga 17 tahun dan dengan pengenalan bagi kategori ini diharap dapat menarik lebih ramai lagi pelumba muda bagi mencungkil bakat-bakat baharu.

Kelab Motocross TQMX telah menandatangani perjanjian penajaan bersama rakan-rakan strategik sambil disaksikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan yang hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Malaysian Motocross Championship 2023 semalam.

Majlis perasmian turut disajikan dengan pertunjukan motocross oleh 15 orang pelumba muda berumur 12 tahun ke bawah yang akan menyertai kejohanan sukan lasak ini pada Julai nanti.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Motocross #MalaysianMotocross #MalaysianMotocrossChampionship2023