fariszolkefli

PELUMBA BASIKAL ANTARABANGSA BAKAL BERHIMPUN DI SELANGOR

PELUMBA BASIKAL ANTARABANGSA BAKAL BERHIMPUN DI SELANGOR

June 14, 2023 8:14 am

SHAH ALAM, 14 JUN – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melakar sejarahnya tersendiri menerusi penganjuran julung kali perlumbaan basikal antarabangsa, Selangor International Race 2023 (SIR 2023) yang akan menghimpunkan 1,000 pelumba basikal tempatan dan luar negara pada 25 Jun ini.

Perlumbaan ini akan membawa peserta melalui laluan sejauh 145 kilometer (km) bermula di Bangunan Ibu Pejabat PKNS di Shah Alam, kemudian melewati beberapa mercu tanda terkenal di Selangor seperti pekan Batu Arang, Selangor Fruit Valley dan Kampung Kuantan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan melihat kelip-kelip selain perbandaran Kota Puteri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas, program yang dianjurkan ini bertujuan untuk mempromosikan pelancongan sukan negeri selain menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif.

Tambahnya lagi, sebanyak 8 kategori akan dipertandingkan iaitu Lelaki Junior U18 (16-18 tahun), Lelaki U23 (19-23 tahun), Lelaki A (23-35 tahun), Lelaki B (36-45 tahun), Lelaki C (46 tahun ke atas), Lelaki Heavyweight (95kg ke atas), Wanita Terbuka (18-35 tahun) dan Wanita Master (36 tahun ke atas).

Beberapa pasukan tempatan seperti Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling turut mengambil bahagian dalam SIR 2023 di samping penyertaan peserta dari luar negara seperti Indonesia, Singapura dan England bagi merebut hadiah keseluruhan yang berjumlah RM64,000.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Cycling #CyclingMalaysia #SelangorInternationalRace2023 #SIR2023

Sumber gambar: PKNS