SEPANG, 19 JUN – Kejohanan domestik berprestij, Malaysian Championship Series (MCS), diteruskan dengan Pusingan 2 yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Latihan bebas dan pusingan kelayakan akan diadakan pada hari Jumaat, 23 Jun manakala Pelumbaan 1 dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu, 24 Jun diikuti dengan Perlumbaan 2 pada keesokan harinya, 25 Jun.
Pusingan 2 MCS telah mencapai satu lagi pencapaian baharu dengan jumlah penyertaan tertinggi sejak 2002, iaitu sebanyak 54 buah kereta daripada empat kategori. Penganjuran musim ini bakal digelar sebagai musim yang paling menarik sepanjang penganjuran MCS yang mana ia bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk pelumba tempatan bahkan juga menarik minat pelumba antarabangsa seperti Ecuador, Macau, Jepun, Taiwan, Singapura, Bangladesh, dan juga India. Perlumbaan selama satu jam ini dapat memberi peluang kepada pelumba untuk mempamerkan potensi mereka kepada tahap yang seterusnya.
Dalam kedudukan keseluruhan kejuaraan, Tauhid Anwar dan Lai Wee Sing daripada R Engineering HMRT mendahului kategori T-Production (TP) dengan 27 mata, mendahului 2 mata di hadapan pelumba berpengalaman Keifli Othman dan pasangannya Aiyub Alamghir daripada Sitty Racing di tempat kedua. Pelumba dari Singapura, Jonathan Xie mengekori rapat di tempat ketiga dengan 20 mata, ketinggalan 7 mata di belakang pendahulu.
Wing Hin Motorsports pula mendominasi kategori Malaysian Touring Car (MTC), dengan menduduki tempat pertama dan kedua menerusi Naquib Azlan dan Nabil Azlan, dengan jumlah mata terkumpul sebanyak 27 mata. Hayden Haikal dan Wong Yew Choong berada di tempat kedua dengan 22 mata, manakala Mitchell Cheah dan Rahul Mayer daripada Hi-Rev Dream Chaser memegang tempat ketiga dengan 21 mata.
Dalam kategori Stock Production 1 (SP1), Chiow Teck Song daripada R Engineering HMRT mendahului kedudukan di tempat pertama dengan 23 mata. Jesmond Tan yang memandu Honda FD2R #444, berada di kedudukan kedua dengan 20 mata, bersama Pee Sau Fan dan Sim Kwong Teck dari DW Motorsports, dengan berkongsi jumlah mata yang sama di tempat ketiga.
Kategori Stock Production 2 (SP2) yang dibahagikan kepada SP2 G dan SP2 V, menampilkan sebanyak 27 buah kereta. Bekas Pemandu F1 Malaysia, Alex Yoong dan rakannya Diego Moran daripada Axle Sport mendahului kategori SP2 V dengan 30 mata. Shafiq Samsudin dan Nadzrie Shuhaimi daripada Piston Project B Pulzar mengekori di tempat kedua, dengan jurang sebanyak 6 mata. Alleh Tiah Yong Shun dan Low Jia Jie kini di tempat ketiga dengan 20 mata. Dalam kategori SP2 G, Ian Wong Jien Sern daripada DW Motorsport memegang takhta teratas dengan 25 mata. Timothy Thomas Yeo dan Aun Yue Wei daripada Bae Racing Team berkongsi mata yang sama di tempat kedua. Sementara, Yip Kian Heng dan Freddie Ang berada di tempat ketiga.
Pusingan 2 MCS juga akan menampilkan TGR Vios Sprint Cup, Caterham Championship dan Asia Classic Car Challenge sebagai perlumbaan sokongan. Para peminat MCS boleh menyaksikan semua aksi mendebarkan ini di SIC dengan kemasukan secara percuma ke Grandstand Utama atau boleh menonton siaran langsung melalui laman Facebook SIC.