fariszolkefli

NESDEG: GARIS PANDUAN DALAM E-SUKAN DILANCARKAN

NESDEG: GARIS PANDUAN DALAM E-SUKAN DILANCARKAN

June 20, 2023 8:14 am

PUCHONG, 20 JUN – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah melancarkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan atau National Esports Development Guideline (NESDEG) pada hari ini bertempat di ESI Hub, Puchong, sebagai langkah pertama ke arah pembangunan industri sukan elektronik Malaysia.

NESDEG diwujudkan rentetan Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk Pembangunan Sukan Elektronik 2020-2025 (“Pelan Strategik Sukan Elektronik”) dan dirangka secara bekerjasama antara Esports Integrated (ESI), Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KBS dan FUTURISE, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan dengan penglibatan semua pemegang taruh daripada sektor kerajaan dan swasta.

Matlamat NESDEG adalah untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan tanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.

Terdapat enam teras utama di bawah NESDEG yang meliputi pelbagai skop penting untuk pembangunan ekosistem sukan elektronik yang selamat, bertenaga, inklusif dan mampan, iaitu: Pengurusan Kontrak Pemain, Tadbir Urus Penganjuran Acara, Memantau dan Melindungi Kanak-Kanak, Tatakelakuan dan Etika, Garis Panduan Laluan Kerjaya, dan Aplikasi Sains dan Perubatan Sukan dalam Sukan Elektronik.

Untuk memastikan NESDEG ini diterima secara meluas, ESI akan menjalankan kempen pendidikan di seluruh Malaysia yang terdiri daripada jelajah, penglibatan forum, perbincangan dalam talian yang menampilkan kandungan-kandungan yang menggalakkan perbincangan yang lebih praktikal dan aktif dan seterusnya diterima oleh masyarakat.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #NationalEsportsDevelopmentGuide #NESDEG #ESI #KBS