Faris Zolkefli

JELAJAH GOLF US KIDS MALAYSIA MEDAN LAHIR BAKAT BAHARU

JELAJAH GOLF US KIDS MALAYSIA MEDAN LAHIR BAKAT BAHARU

June 22, 2023 7:51 am

SHAH ALAM, 22 JUN – Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) menandatangani perjanjian bersama US Kids Golf (India) Private Limited untuk hak tunggal bagi menganjurkan Jelajah Golf US Kids di Malaysia bermula tahun ini hingga 2025.

SportExcel akan menganjurkan enam kejohanan Jelajah Tempatan US Kids setiap musim termasuk kejohanan sehari jelajah tempatan pada penghujung musim dengan penyertaan pemain lelaki dan perempuan berusia 5 hingga 18 tahun.

Menurut Pengarah Eksekutif SportExcel, C. Sivanandan, mereka berbesar hati untuk menganjurkan jelajah itu kerana ia merupakan medan yang baik untuk pemain muda mengasah bakat di peringkat akar umbi.

“Kami akan mengadakan enam pusingan jelajah setiap tahun dengan jelajah tahun ini akan diadakan mulai Sptember hingga Disember di sekitar Lembah Klang. Bagaimanapun, kami hanya akan memuktamadkan tarikh dan venue pada penghujung Julai ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SportExcel, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, berkata ini adalah peluang hebat bagi pemain muda untuk meningkatkan kemahiran dalam permainan pada pertandingan yang bersesuaian dengan peringkat umur tanpa perlu menghabiskan masa dan kos perjalanan jauh di luar negara.

“Kini pemain muda kita mempunyai platform yang hebat untuk bersaing dengan pemain antarabangsa, dengan siri jelajah tempatan tersebut dianjurkan di Malaysia, pemain berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa dalam negara dan bahagian lain di dunia,” katanya.

Beliau turut menambah, menerusi kejohanan jelajah tempatan ini, pemain boleh mengumpul mata untuk meningkatkan status keutamaan kelayakan ke Kejohanan Dunia Golf US Kids 2024.

SportExcel telah memberi sumbangan besar kepada golf remaja di Malaysia, termasuk melahirkan bintang muda seperti pemenang pingat emas wanita Sukan SEA 2023, Ng Jing Xuen dan pemenang pingat emas acara lelaki Sukan SEA 2021, Ervin Chang.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Golf #GolfUSKids

Kredit: BERNAMA

Sumber gambar: Megat Mohd Shahrin