fariszolkefli
SUBANG JAYA, 23 JUN – Sunway Pyramid Ice dengan bangganya melancarkan Kejohanan Malaysia Skate edisi ke-14 dan kejohanan berprestij, Ice Skating Institute Asia (ISIAsia) Championship Siri ke-3 yang berlangsung mulai semalam, 22 Jun hingga 25 Jun ini.
Tahun ini menyaksikan penganjuran Skate Malaysia terbesar yang pernah dibuat oleh Sunway Pyramid Ice dengan sambutan menggalakkan daripada 450 orang peserta yang terdiri daripada beberapa buah negara termasuk Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, China, Amerika Syarikat dan Kuwait.
Skate Malaysia 2023 merupakan peristiwa penting bagi kedua-dua peminat luncur ais dan atlet di Asia. Pertandingan luncur ais antarabangsa yang dianjurkan oleh Sunway
Pyramid Ice dengan sokongan daripada Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) yang telah berganding bahu memberikan komitmen untuk menganjurkan pertandingan luncur ais sejak akhir tahun 90-an.
Sebagai siri ke-3 Kejohanan ISIAsia, Skate Malaysia 2023 telah mendapat tempat istimewa di hati para peserta dan juga penonton. Dengan sokongan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), acara ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai sebuah platform yang berpengaruh untuk mempromosi dan membangunkan sukan musim sejuk.
YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, turut hadir melancarkan majlis pelancaran bersama tetamu kehormat yang lain iaitu HC Chan, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls & Taman Tema; Harry Janto Leo, Pengarah & Presiden ISIAsia; Billy Johan, Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM); dan Albert Cheok, Penolong Pengurus Sunway Pyramid Ice, Sunway Giza Mall & Sunway SQ Mall.
Menurut HC Chan, sebagai tempat yang memberikan perkhidmatan gelanggang ais paling lama di Malaysia, pihaknya sangat berbesar hati untuk menyumbang kepada pembangunan sukan luncur ais sebagai sukan untuk semua. Ini adalah penting kerana ia dapat menjadi asas pembangunan buat komuniti luncur ais di Asia untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kami berbangga untuk sekali lagi menganjurkan pertandingan Skate Malaysia di gelanggang kami. Setiap tahun, kami tidak sabar untuk memupuk peluncur muda yang berani berkumpul untuk mempamerkan kemahiran mereka semasa bersaing untuk. Ia adalah batu loncatan untuk menimba pengalaman dan untuk ke skala yang lebih tinggi,” tambahnya.
“Sunway Pyramid Ice hari ini sangat terkenal sebagai pusat yang menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk komuniti luncur ais dan kami berhasrat untuk meneruskan legasi kami sebagai perintis terkemuka dalam sukan niche tetapi popular ini,” kata Albert Cheok.
Majlis perasmian Malaysia Skate 2023 dilancarkan dengan perarakan bendera dan persembahan luncur ais oleh peluncur berbakat daripada Akademi Luncur Ais Sunway Pyramid Ice.
Selain itu, peluncur muda berbakat, Fang Ze Zeng turut menghiasi pentas dengan persembahannya yang dinamik. Peluncur berusia 19 tahun itu telah bertanding di peringkat antarabangsa dalam kategori lelaki individu dan telah membawa pulang gelaran seperti Senior Champion of Malaysia National 2023, pemenang pingat emas Terbuka Thailand Figure Skating Trophy 2023 dan SEA Figure Skating Thailand 2018.
Ze Zeng juga telah menyertai Skate Malaysia sejak 2016 dan kembali lagi pada tahun ini untuk mempertahankan kejuaraannya menentang peserta baharu.
Sunway Pyramid Ice adalah lokasi pilihan bagi latihan sukan musim sejuk, tempat yang melahirkan beribu-ribu peluncur ais dan menganjurkan pertandingan antarabangsa yang terkenal seperti Skate Malaysia, Skate Asia, dan kejohanan Hoki Ais Dunia.
Sunway Pyramid Ice telah melatih lebih 7,000 pelajar, sebahagian daripada mereka telah menjadi jurulatih profesional atau mengambil bahagian secara aktif di peringkat antarabangsa.
Sepanjang 26 tahun yang lalu, Akademi Luncur Ais Sunway Pyramid telah memupuk lebih daripada 21,000 peluncur ais, menggalakkan mereka untuk menemui potensi sebenar mereka untuk sukan musim sejuk. Ramai daripada mereka telah mengambil sukan luncur ais sebagai aktiviti riadah, manakala yang lain telah berjaya mengejar kerjaya yang kompetitif.
#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #IceSkating #MalaysiaSkate2023
Sumber gambar: Sunway Pyramid