SEPANG, 26 JUN – Para pelumba di Malaysia Championship Series (MCS) terpaksa beradu kekuatan mental dan fizikal untuk menamatkan perlumbaan apabila berhadapan dengan keadaan litar yang basah semasa Pusingan 2 Perlumbaan MCS, yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu lalu.
Perlumbaan dicemari dengan beberapa siri kemalangan di trek, yang memaksa bendera merah dikibarkan. Keadaan cuaca yang tidak menentu membuatkan para pelumba mengalami kesukaran untuk mengawal kenderaan masing-masing, seterusnya memaksa 12 orang pemandu untuk berhenti daripada meneruskan perlumbaan. Namun begitu, sebaik sahaja pit dibuka semula antara jam 1:10 pm – 1:25 pm, kesemua pelumba mula kembali ke dalam pit dan perlumbaan dimulakan kembali pada jam 2:11 pm selepas sesi taklimat dan kebenaran daripada pihak penganjur.
Imran Wafi dan pasangannya, Lee Kum Soon yang memandu Honda FD2R adalah satu-satunya pasukan yang berjaya menamatkan perlumbaan bagi kategori Touring Production (TP). Mereka berhasil merekodkan lap terbaik dengan mencatatkan masa 2 jam 52 minit dan 30 saat.
Bagi kategori Malaysian Touring Car (MTC), Haydan Haikal yang mewakili Wing Hin Motorsports muncul sebagai juara. Tempat kedua disandang oleh Mitchell Cheah dan Rahul Mayer yang mewakili Hirev Dream Chaser, manakala Lee Wai Chong dan Bradley Benedict Anthony yang juga daripada pasukan yang sama, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Sementara itu, R Engineering tampil unggul dalam kategori Stock Production 1 (SP1) selepas berjaya membolot podium pertama, kedua dan ketiga. Tempat pertama disandang oleh Farriz Fauzy, diikuti Jesmond Tan di tempat kedua dan Aiman Sadat, pelumba baharu dari Bangladesh, mencipta kejutan dengan meraih tempat ketiga.
Dalam kategori Stock Production 2G (SP2G), Bae Racing Team membolot dua kedudukan podium dengan Amir Harris di tempat pertama dan Timothy Thomas Yeo serta pasangannya Aun Yue Wei di tempat ketiga. Pelumba muda berusia 16 tahun daripada R Engineering, Adam Mikail Mazrul, berpuas hati apabila berhasil berkongsi kedudukan di tempat ketiga.
Muhammad Hasif daripada Empire M racing dijulang sebagai juara bagi kategori Stock Production 2V (SP2V). Tempat kedua menjadi milik pelumba dari Singapura, Soh Chee Chong dan Khairul Anwar, manakala tempat ketiga disandang oleh Shafiq Samsudin dan Ahmad Nadzrie daripada pasukan Piston Project by Pulzar.