Faris Zolkefli

ADAMAS MENYATAKAN SOKONGAN KEPADA KOD SUKAN SELAMAT

ADAMAS MENYATAKAN SOKONGAN KEPADA KOD SUKAN SELAMAT

July 3, 2023 7:05 am

PUTRAJAYA, 03 JULAI РAgensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) bersama 50 orang Ahli Jawatankuasa Anti-Doping yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang Pendidikan, Pengurusan Keputusan (Result Management) dan Therapeutic Use Exemption (TUE) serta Pegawai-pegawai Kawalan Doping (Doping Control Officers) dan para pendidik Anti-doping (Educators) telah menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, bertempat di menara KBS, Putrajaya, disaksikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan. 

Majlis Menandatangani Akuan Sokongan kepada Kod Sukan Selamat ini diadakan sebagai tanda sokongan serta komitmen tidak berbelah bahagi penggerak anti-doping menegakkan prinsip dan nilai murni Kod Sukan Selamat, menerima, melaksana dan mengadaptasikan Kod Sukan Selamat serta mengiktiraf peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan berdasarkan kod ini. Ia juga selari dengan usaha berterusan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dalam mewujudkan persekitaran sukan yang selamat dan memastikan kesejahteraan atlet, serta melindungi integriti sukan.

Para penggerak anti-doping ini terdiri daripada Pakar Perubatan Sukan, Pengamal Undang-undang khususnya dalam bidang sukan, Ahli Akademik, Pegawai daripada agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Pegawai Perkhidmatan Pendidikan termasuk Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara.

Penggerak anti-doping selaku barisan hadapan anti-doping yang terlibat secara langsung dengan Komuniti Sukan khususnya memainkan peranan untuk melindungi Komuniti Sukan daripada sebarang bentuk tindak tanduk tidak bermoral/berintegriti yang boleh menjejaskan bukan hanya kesihatan fizikal dan mental, malah turut menjadi penyebab kepada kemerosotan prestasi atlet.

Kod Sukan Selamat Malaysia adalah komitmen semua pemegang taruh dalam memastikan persekitaran sukan di Malaysia adalah bebas daripada segala bentuk penderaan dan gangguan seterusnya meningkatkan tahap pencapaian sukan negara di peringkat antarabangsa.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #ADAMAS #KodSukanSelamat

Sumber gambar: KBS Malaysia