LTdL 2023 ‘BEAT THE HEAT’ SAJIKAN 8 PERINGKAT MENCABAR
LTdL 2023 ‘BEAT THE HEAT’ SAJIKAN 8 PERINGKAT MENCABAR
July 4, 2023 6:11 am
PUTRAJAYA, 4 JULAI – Kejohanan berbasikal terulung di Malaysia, Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-27 bakal kembali menemui peminatnya pada 23 hingga 30 September ini.
Penganjuran perlumbaan bertaraf dunia ini merupakan kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku pemilik LTdL dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang merupakan badan induk sukan itu di negara ini.
Edisi tahun ini akan dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan akan melibatkan lapan peringkat perlumbaan selama lapan hari di 11 negeri di Semenanjung Malaysia (kecuali Perlis) dengan jarak keseluruhan 1,280 kilometer.
Namun begitu, jelajah berbasikal terunggul Asia ini tidak menyenaraikan Langkawi dalam perlumbaan LTdL edisi ke-27 ini atas faktor ingin mengurangkan kos perbelanjaan.
Sebelum ini MSN mempunyai rekod yang baik sebagai penganjur LTdL dari 2012 hingga 2014 di mana mereka telah dianugerahkan ‘Excellence Level of Organisation’ oleh badan induk dunia, Union Cycliste International (UCI).
‘Beat The Heat’ dipilih sebagai tema perlumbaan pada tahun ini, menggambarkan ujian getir yang menanti pelumba melalui pendakian yang mencabar ke puncak Genting Highlands, mengharungi cuaca panas terik di samping sorakan hangat daripada peminat di sepanjang laluan perlumbaan di seluruh negara.
LTdL pada tahun ini akan mempergiatkan usaha mempromosikan industri pelancongan negara selepas berakhirnya pandemik Covid-19 melalui siaran langsung perlumbaan yang bakal mencecah hampir 300 juta penonton menerusi media antarabangsa seperti saluran televisyen kabel EuroSports serta platform media sosial tempatan dan antarabangsa.
Sehubungan itu, KBS mengalu-alukan sokongan daripada pelbagai penaja untuk tampil ke hadapan bagi menjamin kelancaran penganjuran dan menyemarakkan lagi kemeriahan perlumbaan peringkat Pro-Series ini. Kerajaan Negeri Terengganu adalah antara yang menyatakan sokongan terhadap penganjuran pada tahun ini dengan menganjurkan dua peringkat perlumbaan.
Senarai pasukan yang akan menyertai LTdL edisi ini akan dimuktamadkan tidak lama lagi, melibatkan penyertaan minimum tiga Pasukan Dunia (UCI WorldTeam), tujuh Pasukan Pro (UCI ProTeam), 11 pasukan benua (UCI Continental) dan satu Pasukan Kebangsaan Malaysia.