RAGBI 7 SEBELAH KEBANGSAAN 2023: 50 PASUKAN BERADU TENAGA
RAGBI 7 SEBELAH KEBANGSAAN 2023: 50 PASUKAN BERADU TENAGA
July 5, 2023 3:28 am
KUALA LUMPUR, 5 JULAI – Sejumlah 50 pasukan akan menyertai Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Kebangsaan 2023 yang akan berlangsung di dua venue di Ipoh, Perak, bermula 21 hingga 23 Julai ini dengan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM30,000.
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memaklumkan kejohanan itu akan diadakan di Stadium Ragbi Perak dan Kem Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Seperti edisi tahun lepas, kejohanan ini mengekalkan empat kategori iaitu Lelaki Terbuka (15 pasukan), Wanita Terbuka (10 pasukan), Lelaki Bawah 20 Tahun (14 pasukan) dan Wanita Bawah 20 Tahun (11 pasukan).
“Format kejohanan yang berlangsung selama tiga hari ini akan dijalankan dalam dua pusingan iaitu pusingan awal bagi peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati untuk peringkat suku akhir ke atas,” menurut kenyataan dikeluarkan KRM, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pertandingan KRM, Fahmy Jalil berharap penganjuran kejohanan tersebut akan menyediakan platform buat semua pasukan bertanding untuk beraksi secara lebih kompetitif di peringkat tertinggi.
“KRM juga berharap penganjuran tersebut menjadi serampang dua mata dalam melahirkan bakat baharu berpotensi selain medan pemilihan pemain ragbi wanita untuk pasukan 7s Kebangsaan yang akan menyertai Kejohanan Siri Asia 2023 nanti,” katanya.
Menurutnya, bagi memberi impak pada kejohanan tahun ini, KRM turut membenarkan pemain lelaki skuad kebangsaan Bunga Raya 7s, beraksi untuk negeri masing-masing.