KUALA LUMPUR, 7 JULAI – Bagi membantu perkembangan, kesejahteraan mental dan pembangunan profesional pemain, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memulakan kerjasama dengan University of Cyberjaya (UoC).
Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V. Subramaniam berkata, UoC akan membantu badan induk badminton negara dalam menubuhkan Unit Kesihatan Mental bagi manfaat kira-kira 120 pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
UoC menerusi Fakulti Psikologi dan Sains Sosial juga akan membantu BAM dalam menyediakan program kesedaran kesihatan mental, psiko pendidikan dan membina kesejahteraan serta ketahanan pemain.
Menurut Subramaniam, universiti berkenaan juga akan menempatkan ahli psikologi gaya hidup di ABM selain pakar psikologi prestasi sedia ada daripada Institut Sukan Negara (NSI) untuk membantu pemain, terutama pemain muda.
“Kami (BAM) memiliki pemain yang sangat muda di bawah bimbingan kami, yang jauh daripada persekitaran keluarga mereka (pemain muda) seawal usia 13 tahun. Tanggungjawab kami melangkau menyediakan latihan yang baik kepada mereka, kami juga perlu memupuk mereka dan memastikan kesihatan mental mereka dalam keadaan baik, terutama pemain yang lebih muda.
“Para pemain akan menerima manfaat secara meluas daripada psikopendidikan, program kesedaran kesihatan mental serta perkhidmatan ujian dan penilaian kesihatan kognitif oleh UoC,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Naib Canselor UoC Prof Dr Zabidi Hussin di sini hari ini.
Sementara itu, menerusi MoU selama setahun itu, pelajar UoC akan berpeluang menjalani latihan industri dan perkongsian penempatan di BAM.
“Kami menyasarkan untuk memberi impak positif kepada kehidupan golongan muda dan atlet, memberikan mereka sokongan komprehensif, perkhidmatan kesihatan mental dan latihan profesional. Bersama-sama, kita akan memperkasakan pelajar untuk cemerlang dalam akademik dan olahraga.
“Dekan Fakulti Psikologi dan Sains Sosial Prof Madya Dr J. Anasuya Jegathevi pakar dalam bidang psikologi akan membantu BAM untuk membangunkan ahli psikologi sendiri,” katanya.