BUKIT MERTAJAM, 11 JULAI – Saingan sengit dengan aksi mendebarkan telah ditampilkan oleh 69 orang pelumba cilik pada pusingan pertama Kejuaraan Motocross Malaysia (MMC) 2023 yang berlangsung di Litar Motocross Padang Ibu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang minggu lalu.
Rata-rata pelumba ini hadir daripada saingan MXKIDS Funrace Series musim lalu sekali gus melebarkan sayap beraksi pada kejohanan peringkat kebangsaan tersebut buat julung kalinya.
Dengan slogan Go BIG or Go Home, kini penganjur MMC turut berbesar hati membawa acara MXKIDS ke dalam perlumbaan kebangsaan sebagai antara taruhan terbaharu bagi penganjuran edisi tahun ini.
Penganjur kejohanan MXKIDS Funrace Series, Fazril Zabidi berkata, pihaknya berbangga apabila saingan perlumbaan cilik motocross tersebut akhirnya dipertandingkan secara rasmi di peringkat kebangsaan menerusi MMC.
Jelasnya lagi, perlumbaan edisi 2023 telah membuka tirai dengan mempertandingkan tiga kategori utama iaitu MX50cc, MX65cc, MX85cc dan dua sub kategori rookie iaitu 50cc rookie dan 65cc rookie.
“Sub kategori ini diperkenalkan untuk menarik pelumba baharu yang berminat berkecimpung dalam sukan lasak motocross ini selain dapat bersaing di tahap kategori masing-masing.
“Misi kami sejak bermulanya penganjuran kejuaraan ini sebagai platform mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan motocross negara serta memberi peluang kepada semua mencuba sukan lasak ini mengikut tahap masing-masing,” katanya.
“Kejuaraan sukan lasak negara ini dijangka bakal menyajikan persaingan lebih sengit kerana semua pelumba menaruh harapan untuk berada di podium kemenangan.
“Ini kerana semua juara edisi 2022 akan bertukar kategori iaitu Muhammad Aidil Rayyan
Hamdan dari kategori MX50cc kepada MX65cc, Muhammad Aqil Putra Nizam akan bersaing kelas MX85cc dan Muhammad Zhafran Aniq Muhammad Yusmizan dari kategori MX85cc kepada MX125cc.
“Dengan itu, ia membuka peluang kepada pelumba baharu untuk muncul juara bagi semua tiga kategori utama iaitu MX50cc, MX65cc dan MX85cc.
Untuk rekod, MXKIDS Funrace Series 2022 telah menerima sebanyak 132 penyertaan pelumba cilik daripada seluruh Semenanjung Malaysia melibatkan empat pusingan di Selangor, Pahang, Johor dan Perak.
Bagi Pusingan Pertama Kejuaraan Motocross Malaysia 2023 ini, sebanyak 131 penyertaan telah diterima termasuk 69 penyertaan pelumba cilik dan 15 penyertaan bagi sub kategori rookie 50cc dan 65cc sekali gus menunjukkan perkembangan positif penerimaan sukan lasak motocross di Malaysia.
Senarai podium bagi setiap kategori Pusingan Pertama Kejuaraan Motocross Malaysia (2023) ;
Kategori MX85cc
P1: Aqil Putra Nizam, PGM TECH RACING
P2: Luke Allan Wong , PGM TECH RACING
P3: Muhammad Nazhan Mizan bin Borhan
Kategori MX65cc
P1: Muhammad Zill Qayyim bin Muhammad Yusmizan, FATTAH MOTORSPORTS
P2: Muhamad Ariff Darwisy, ARRYAN MX
P3: Muhammad Rayyan Arif, VECTOR MOTORSPORTS CLUB
Kategori MX50cc
P1: Muhammad Adam Syakir Mohd Shukri
P2: Khairul Izqi Saipudin, DAYZAMX
P3: Asyir Anaqi Fazril, DAYZAMX
Kategori Rookie 50cc
P1: Muhamad Rais Firdaus
P2: Izz Muhammad Ikhwan
P3: Muhammad Hadief Farhan
P4 : Muhammad Zayyan Zikry
P5 : Muhammad Zayyan Faiq Mohd Hairi
Kategori Rookie 65cc
P1: Muhammad Harraz Rayyan
P2: Ziqry Rayyan bin Razif
P3: Razieq Hilman bin Suffian
P4 : Muhammad Hafiz Sulaiman
P5 : Ahmad Dani Mikhail
Pusingan seterusnya dijadual berlangsung pada 16 hingga 17 September di Ijok, Selangor dan penyertaan masih dibuka bagi mereka yang berminat untuk menyertai dengan menghubungi talian 013-3600802.
Info lanjut mengenai MMC 2023 boleh didapati melalui laman facebook Malaysian Motocross Championship.