haziq

JAGUH KARATE ASIA BERENTAP DI MELAKA PADA 21-23 JULAI INI

JAGUH KARATE ASIA BERENTAP DI MELAKA PADA 21-23 JULAI INI

July 12, 2023 9:13 am

BUKIT JALIL, 12 JULAI – Persiapan dan kekuatan sebenar skuad karate negara menjelang temasya Sukan Asia, Hangzhou pastinya teruji dengan penyertaan Kejohanan Karate Asia edisi ke-19 yang bakal berlangsung di Pusat Perdagangan Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 21-23 Julai ini.

Kejohanan ini mempertandingkan sejumlah 17 kategori secara keseluruhan iaitu 11 kategori individu lelaki dan wanita dalam acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing serta 6 kategori berpasukan Kata dan Kumite lelaki dan wanita.

32 buah negara bersama hampir 500 orang atlet telah mengesahkan penyertaan sekali gus bakal menyaksikan medan pertempuran bagi jaguh Karate terbaik di Asia bertempur merebut kejuaraan.

Dalam edisi lalu, Uzbekistan merupakan tuan rumah di mana Jepun mengungguli pungutan pingat keseluruhan sebanyak 13 pingat (8 emas, 2 perak, 3 gangsa) dan kali ini mereka turut menghantar seramai 23 atlet.

Lebih menarik, Kejohanan Para Karate Asia edisi ke-2 juga akan berlangsung serentak dengan Kejohanan Karate Asia ke-19 bagi memastikan atlet Para menerima tumpuan yang sama ketika kejohanan itu nanti.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad menzahirkan penghargaan serta ribuan terima kasih kepada Persekutuan Karate Asia (AKF) dan Persekutuan Karate Dunia (WKF) di atas kepercayaan yang diberikan bagi menganjurkan Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Para ke-2 di MITC, Ayer Keroh, Melaka.

“Penganjuran kali ini bukan sahaja akan mendatangkan keterujaan dan persaingan yang hebat di antara atlet-atlet dan pasukan dari pelbagai negara Asia malah akan menjadi sebuah platform mempromosian budaya, warisan dan semangat kesukanan dalam kalangan peminat dan negara yang bertanding.

“Kejohanan ini juga akan menjadi medan persiapan terbaik buat skuad karate negara ke temasya Sukan Asia Hangzhou di mana kita letakkan sasaran untuk meraih satu pingat Emas,’ katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Beliau turut menjanjikan penganjuran berkelas dunia akan dipersiapkan di Kejohanan Karate Asia ke-19 sekaligus menjadikan kejohanan di Melaka sebagai penanda aras bagi penganjuran Kejohanan Karate Dunia di Budapest, Hungary, Oktober nanti.

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja, R. Sharmendran sah tidak akan beraksi di kejohanan ini bagi memberi fokus kepada proses pemulihan kecederaannya dan bakal digantikan dengan atlet pelapis.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Kejohanan Para Asia edisi ke-2, sila layari laman sesawang rasmi kejohanan di https://www.wkf.net/continental-championships-main/257

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #19thAsianSeniorKarateChampionship #MAKAF