fariszolkefli

PUSINGAN 2 FIM MINI GP KEMBALI HANGAT DI LANGKAWI

PUSINGAN 2 FIM MINI GP KEMBALI HANGAT DI LANGKAWI

July 14, 2023 9:25 am

LANGKAWI, 14 JULAI – Saingan FIM MiniGP Malaysia Series 2023 kini kembali untuk pusingan kedua dengan menjanjikan aksi-aksi yang lebih hebat pada hujung minggu ini di Morac Adventure Park, Langkawi.

Pertarungan untuk dua tempat mewakili negara di FIM MiniGP World Finals di Valencia, Sepanyol pada November ini dijangka lebih panas dalam kalangan para pelumba kelas 160cc FIM MiniGP Malaysia walaupun sukar untuk mereka menggugat kedudukan Qabil Irfan Azlan, yang mencatat keputusan sempurna pada Pusingan 1 di Litar UNIMAP di Arau, Perlis, Mei lepas.

Dengan berbaki empat pusingan lagi, Qabil, yang mewakili negara tahun lepas, mempunyai kelebihan 10 mata ke atas pencabar terdekat, Airel Marzuki, dengan 40 mata. Tempat ketiga diduduki oleh pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tuan, yang mengutip 32 mata.

Saingan kelas 110cc SIC Ohvale Championship pula dipimpin oleh Aidil Zariff, yang memenangi kedua-dua perlumbaan di Litar UNIMAP. Ketinggalan 10 mata di belakang adalah Fahim Naufal dengan 40 mata dan Rishi Keishan Kishi di tempat ketiga dengan memungut 32 mata setakat ini.

Saingan di Langkawi turut memperagakan kelas baharu iaitu 190cc, yang diperkenalkan buat pertama kali oleh FIM MiniGP Dunia pada 28 Mei 2022 di Grand Prix Itali di Mugello dengan menggunakan jentera Ohvale GP-2 190cc.

Seramai 9 pelumba bakal menyertai kejuaraan ini termasuk empat penunggang di pentas Asia Talent Cup (ATC) 2023 seperti Farish Hafiy, Farres Putra, Adi Putra, dan Ahmad Darwisy, yang kesemua datang daripada program SIC MiniGP Championship 2020 anjuran bersama Sepang International Circuit (SIC), Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM) dan pasukan ZK Racing.  

“Bagi kategori baru FIM MiniGP Malaysia 190cc, ia dipilih berdasarkan berpengalaman, aktif dalam perlumbaan, had umur antara 14 hingga 16 tahun. Di samping keutamaan kepada pengalaman bersaing dalam kategori 160cc pada tahun lepas,” kata pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FIMMiniGPMalaysiaSeries2023

Sumber gambar: ZK Racing