LANGKAWI, 17 JULAI – Juara bertahan Qabil Irfan Azlan terus tidak dicabar dalam saingan FIM MiniGP Malaysia 160cc dengan mencipta dua lagi kemenangan berturut-turut pada saingan Pusingan 2, yang berlangsung di Litar MORAC Adventure Park, Langkawi, semalam.
Terpantas dalam keempat-empat sesi latihan bebas rasmi dan pada sesi kelayakan, Qabil Irfan, yang memenangi kedua-dua perlumbaan pada Pusingan 1 Mei lepas, mengutip 50 lagi mata kejuaraan untuk meletakkan dirinya di persada kejuaraan dengan mengumpul 100 mata selepas dua pusingan.
Anak kepada bekas pelumba Cub Prix, Azlan Abdul Rahman yang berusia 11 tahun itu memenangi Perlumbaan 1 dengan catatan masa 18 minit 12.561 saat dan 8.597 saat di hadapan Airel Marzuki. Tempat ketiga diduduki oleh pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tan, yang ketinggalan 11.554 saat di belakang.
Bersaing di atas trek kering dan cuaca panas terik, Perlumbaan 2 terus menyaksikan dominasi Qabil Irfan apabila beliau membuka jarak seawal selekoh pertama untuk mencipta kemenangan selesa terhadap Airel Marzuki dan Qayyim Razin, yang masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
Dengan prestasi hebat yang dipamerkan sepanjang musim ini, Qabil Irfan, juara saingan SIC Ohvale Junior Championship 110cc dua musim lepas pastinya salah seorang daripada dua calon pelumba yang bakal terpilih mengibarkan Jalur Gemilang sekali lagi pada Kejuaraan FIM MiniGP Dunia 160cc di Valencia pada November ini.
Saingan kelas baharu FIM MiniGP 190cc, yang dibuka kepada pelumba berusia 14 hingga 16 tahun, menyaksikan pelumba Selangor, Farish Hafiy dinobatkan sebagai pemenang sulung pada kejuaraan yang diperkenalkan pada Pusingan 2 di Langkawi.
Bermula dari petak pertama, penunggang berusia 14 tahun itu memimpin Perlumbaan 1 dari awal hingga akhir dan menepis cabaran sengit daripada Farres Putra, yang terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua; menamatkan perlumbaan 0.543 saat di belakang Farish Hafiy. Tempat ketiga diduduki oleh Ahmad Darwisy, yang ketinggalan agak jauh hampir tujuh saat di belakang.
Perlumbaan 2 untuk saingan kelas 190cc ini terus menyaksikan pertarungan sengit antara Farish Hafiy dan Farres Putra, yang menyaksikan mereka bertukar kedudukan memimpin perlumbaan. Namun, selepas 18 lap, Farish Hafiy mengulangi catatan kemenangan; menamatkan perlumbaan dengan masa 19 minit 46.325 saat dan 2.006 saat di hadapan Farres Putra, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Ahmad Darwisy.
Sembilan pelumba termasuk seorang penunggang dari China, Ke Huanni bersaing dalam kejuaraan sulung 190cc ini, yang mana dua penunggang terbaik akan dipilih mewakili negara untuk beraksi di pentas Kejuaraan Dunia di Valencia.
Dalam saingan SIC Junior Ohvale Championship 110cc, Aidil Zariff, yang memenangi kedua-dua perlumbaan pada Pusingan 1, terus garang dengan mencipta satu kemenangan berganda musim ini. Aidil mencatatkan masa 17 minit 40.953 saat dengan meninggalkan pelumba Hong Kong, Cheung Yan Kit lebih empat saat di tempat kedua, dan Qasha Irfan hampir 12 saat di tempat ketiga.
Dicabar hebat oleh Cheung Yan Kit di awal saingan Perlumbaan 2, Aidil mencipta kemenangan mudah selepas penunggang Hong Kong itu jatuh pada lap 9; sekali gus menyaksikan Qasha Irfan menduduki tempat kedua dan Nufayl Darwisy di tempat ketiga.
Pusingan 3 akan berlangsung di litar yang sama pada 5 dan 6 Ogos dengan Pusingan 4 dijadualkan pada 16 dan 17 September 2023; dan Pusingan Akhir diadakan pada 7 dan 8 Oktober 2023 di Litar Kart Antarabangsa Sepang.